
Beliau mendakwa tindakan itu akan dikenakan di platform seperti Facebook, TikTok, dan WhatsApp.
“Selepas ini tolong imbas kod QR kita (PAS) dan kemas kini perkembangan yang ada. Untuk apa kalau kita bergantung pada medium-medium seperti Facebook, TikTok, dan sebagainya. Kita akan berpotensi akan dikenakan ‘shadow banned’.
“Jadi, saya nak ingatkan bahawa strategi terakhir yang ada pada kerajaan hari ini khususnya menjelang pilihan raya sedikit masa lagi ialah mereka akan mengenakan ‘shadow banned’ secara besar-besaran kepada platform TikTok, Facebook, dan WhatsApp,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-70 di Kompleks Al-Makmur.
‘Shadow banned’ merujuk situasi di mana status, komen, atau aktiviti tidak muncul atau tidak dapat dilihat di media sosial, tetapi masih belum menerima notifikasi larangan rasmi.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Mas itu meminta perwakilan hadir pada muktamar mengimbas kod QR saluran rasmi WhatsApp PAS, bagi membolehkan mereka memperoleh maklumat, perkembangan, dan aktiviti terkini.
Beliau sedar masih ada ahli PAS yang tidak cakna akan perkembangan terkini PAS, termasuk dalam isu membabitkan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok yang membangkitkan isu penggunaan logo halal.
“Kadang-kadang bila kita bersuara tentang satu isu, ada yang kata mana suara PAS. PAS tak bercakap pun soal isu ini, isu Teresa Kok dan halal. Ramai ahli PAS yang WhatsApp saya mana suara PAS.
“Pemuda PAS telah pun buat laporan seluruh negara dan kita amanahkan Pemuda dan ketua Pemuda kawasan di negeri-negeri seluruh negara untuk membuat laporan polis isu halal melibatkan Teresa Kok.
“Tiba-tba ketua Pemuda Umno (Dr Akmal Saleh) bersuara dan ahli tanya saya, mana suara PAS. Sebab apa. Sebab anda sendiri tidak mendapat perkembangan semasa tentang aktiviti PAS,” katanya.