
“Jika Hadi ikhlas kenapa hendak ketepikan presiden kami. Adakah Hadi cuba memecahbelahkan Umno yang semakin hari semakin kukuh,” katanya dalam kenyataan.
Wan Rosdy mengingatkan bahawa institusi presiden yang mementukan arah tuju Umno, maka PAS perlu berbincang dan berunding dengan presidennya jika berhasrat mengadakan kerjasama.
“Sebagai naib presiden, saya tidak berminat untuk membuat sebarang perundingan yang membelakangkan ketua saya serta melaga-lagakan ahli-ahli Umno,” katanya.
Semalam, Hadi pada sidang media di tepian muktamar tahunan PAS di Temerloh, Pahang dakwa pihaknya mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno selain Presiden Zahid Hamidi bagi membincangkan agenda menghidupkan semula Muafakat Nasional.
Dalam ucapan dasarnya pula, Hadi berkata PAS tetap teguh menghidupkan MN yang ‘sebenar’, dan mempertahankan Perikatan Nasional.
Wan Rosdy berkata menjalin kerjasama tanpa melibatkan presiden Umno hanya mementingkan PAS. “Saya tidak nampak cadangan kerjasama ini dibuat atas dasar kepentingan Melayu dan Islam.”
Beliau membalas Umno sentiasa terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan PAS.
“Cuma kalau PAS benar-benar hendak kembali untuk bekerjasama, kita boleh berunding tetapi dengan syarat tidak melibatkan Hadi,” katanya.
Muafakat Nasional merupakan nama pakatan antara Umno dan PAS yang dibentuk selepas PRU14. Nasib pakatan itu menjadi persoalan susulan perselisihan antara kedua-dua parti berkaitan Bersatu.