
Individu yang berhasrat bertanding mempunyai masa sejam untuk mengemukakan borang pencalonan, sebelum nama calon yang layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Azurawati Wahid, dijangkakan sekitar 11 pagi.
Selepas itu, calon terlibat mempunyai tempoh 14 hari untuk berkempen bagi meraih sokongan, iaitu sehingga 11.59 malam 27 Sept, diikuti hari pengundian pada 28 Sept manakala pengundian awal ditetapkan pada 24 Sept.
DUN Mahkota adalah satu daripada dua DUN bawah Parlimen Kluang.
Barisan Nasional (BN) sebelum ini mengumumkan Ketua Pemuda Umno Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai calon mewakili kerajaan perpaduan, manakala Perikatan Nasional (PN) memilih bekas pemain bola sepak Johor FA Mohamad Haizan Jaafar, 61.
PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.
Sehubungan itu, SPR membuka tiga pusat mengundi dengan 11 saluran bagi pengundian awal, manakala 20 pusat mengundi dengan 109 saluran akan dibuka pada hari pengundian,
Seramai 1,126 orang petugas dijangka akan terlibat dengan PRK itu.
Pada PRN sebelum ini, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.