
Ahli Jawatankuasa Amanah Pusat Mohd Sany Hamzan berkata, tidak timbul isu pemimpin Melayu kerajaan lemah, seperti didakwa Presiden PAS Hadi Awang, kerana tidak menegur Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Teresa Kok yang mempertikaikan cadangan mewajibkan sijil halal bagi restoran dan syarikat makanan.
Mohd Sany berkata, Anwar sendiri menegur Kok dan menyediakan ruang perbincangan seluasnya dalam pelbagai saluran termasuk mesyuarat Jemaah Menteri.
“Kalau tak keras lagi, cuba tengok kenyataan ketua Pemuda Umno, nak keras macam mana lagi?” katanya kepada FMT, merujuk tindakan Akmal mengkritik keras Kok sehingga mencetuskan saman RM25 juta oleh Ahli Parlimen Seputeh itu.
Ahli Parlimen Hulu Langat itu berkata, PAS dan Perikatan Nasional (PN) sebenarnya tertekan dengan pelbagai masalah dalaman, dan Hadi cuba mengalihkan tekanan itu, antaranya berkaitan pendakwaan dihadapi pengerusinya Muhyiddin Yassin kerana salah guna kuasa serta hasutan, kepada kerajaan.
Khamis lepas, ketika berucap pada Muktamar Pemuda PAS, Hadi berkata, parti Melayu dalam kerajaan perpaduan lemah dan tidak berwibawa untuk menangani rakan komponen bukan Islam, termasuk dalam isu sijil halal, sehingga ada yang ‘naik kepala’.
Membalas kritikan Hadi, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi mengingatkan bahawa Hadi berdiam diri apabila Muhyiddin mencemarkan imej bekas Yang di-Pertuan Agong dalam ucapan kempen PRK Nenggiri bulan lepas.
“Hadi membisu seribu bahasa,” katanya menegaskan perbezaan pendapat bukan tanda ‘naik kepala’.
Menurutnya, Umno selaku parti paling berpengalaman mempunyai cara sendiri menyelesaikan isu berbangkit dengan rasional dan platform sesuai seperti mesyuarat Jemaah Menteri.
“Loke Siew Fook (adalah antara) pemimpin DAP yang lebih rasional dan terbuka untuk berbincang. Beliau tidak naik kepala. (Kalau nak) banding (dengan) Sanusi Nor atau Azmin Ali, jauh (beza macam) bumi dengan langit.
“Dalam isu (sijil) halal, ia bukan dasar (yang) sudah diputuskan. Bahkan semasa PN memerintah pun, (sijil) halal tidak diwajibkan kepada semua restoran, (jadi) kenapa (perlu) dikaitkan sebagai naik kepala?
“Silap Kok, beliau salah faham kenyataan menteri agama, kemudian buat kenyataan menyinggung perasaan orang Islam,” katanya.