
Berikutan itu, sebanyak 11 skim perkhidmatan dengan kelayakan masuk Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan dinaik taraf kepada skim perkhidmatan berkelayakan SPM.
Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan, skim perkhidmatan terlibat termasuk pengawas hutan dengan gred jawatan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan pembantu hidupan liar, masing-masing gred G11 dan G14.
Turut terlibat, pemandu kenderaan, pemandu atau operator jentera pemunggah, pembantu awam serta operator loji, masing-masing gred H11, H14, H16 dan H18; pengawal keselamatan (KP11, KP14, KP16 dan KP18),; pembantu perawatan kesihatan (U11, U14, U16, U18); serta bentara Parlimen, penghantar notis dan pembantu operasi (N11, N14, N16, N18).
Menurut pekeliling itu, skim perkhidmatan pemandu kenderaan, pemandu atau operator jentera pemunggah, pembantu awam, operator loji, bentara Parlimen, penghantar notis dan pembantu operasi digabungkan sebagai satu skim perkhidmatan baharu berkelayakan SPM, iaitu pembantu khidmat am serta diklasifikasikan sebagai Perkhidmatan Kemahiran (H).
Manakala, penyandang sedia ada ditukar lantik ke skim perkhidmatan pembantu khidmat am.
“Skim perkhidmatan pembantu perawatan kesihatan juga dinaik taraf ke skim perkhidmatan berkelayakan SPM dengan penyandang sedia ada ditukar lantik ke skim perkhidmatan tersebut.
“Selain itu, skim perkhidmatan pengawal keselamatan dijumudkan dan penyandang sedia ada ditukar lantik ke skim perkhidmatan pembantu keselamatan yang berkelayakan SPM,” menurut pekeliling disiarkan di laman sesawang JPA semalam.
Pada masa sama, skim perkhidmatan pengawas hutan dan pembantu hidupan liar berkelayakan PT3 atau PMR juga akan dimansuhkan dan penyandang sedia ada ditukar lantik ke skim perkhidmatan pengawas hutan dan pembantu hidupan liar berkelayakan SPM.
Sementara itu, pekeliling itu turut memaklumkan, sebanyak 26 skim perkhidmatan berkelayakan SPM diperluaskan kepada kelayakan Sijil Vokasional Malaysia (SVM), manakala 11 skim perkhidmatan berkelayakan diploma dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diperluaskan kepada kelayakan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) serta Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM).
Penetapan kelayakan TVET itu mengambil kira bidang bersesuaian dengan skop tugas dalam skim perkhidmatan berkaitan selain memberi peluang kepada calon berkemahiran menyertai perkhidmatan awam.
Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari https://sspa.jpa.gov.my/index.php/pekeliling.