
Usul dibentangkan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan dipersetujui perwakilan dengan undian secara sebulat suara.
Takiyuddin berkata menerusi usul memperkasa Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) itu, ahli bukan Islam terbabit diberi hak mengundi dan dipilih namun terhad kepada sayap itu sahaja.
“Pindaan ini akan memberi ruang lebih luas kepada DHPP dalam menyumbang kepada hala tuju parti,” katanya.
Sebelum pindaan ini, hanya orang beragama Islam boleh menjadi ahli PAS, dengan suatu biro khas diwujudkan untuk penyokong yang bukan beragama Islam, iaitu DHPP.
Selepas pindaan ini, pemilihan pemimpin DHPP dibuat pengundian bukan lagi pelantikan.
Takiyuddin turut menjelaskan pemimpin atau ahli DHPP tidak boleh memegang jawatan dalam ahli jawatankuasa PAS pusat.
Beliau turut menjelaskan usul terbabit juga menyatakan seseorang yang tiada agama tidak layak menjadi ahli bersekutu PAS.
“Seseorang nak jadi ahli bersekutu PAS mesti beragama. Sama ada Hindu, Kristian, Buddha, dan mesti jadi ahli agama apa saja yang ada dalam dunia ini,” katanya.