
Ditemui pada Muktamar Pemuda PAS, Mohd Naim Basri dari Sungai Petani berkata kes mahkamah terbaru dihadapi Muhyiddin berkait hasutan terhadap institusi raja bulan lalu tidak akan memberi tekanan kepada PN yang diketuai bekas perdana menteri itu.
Menurutnya, kerjasama PAS dan Bersatu yang terjalin sejak empat tahun lalu juga tidak akan terjejas dan berjalan lancar seperti biasa.
“Cuma ada di kawasan tertentu pemimpin Bersatu (peringkat akar umbi) mempunyai masalah sesama sendiri yang sedikit merencatkan kerjasama terutama dari segi gerak kerja.
“Itu kita serah kepada pucuk pimpinan mereka selesaikan masalah dalaman dari segi kepimpinan,” katanya kepada FMT namun tidak mendedahkan secara lanjut masalah dalaman itu.
Pada 27 Ogos lalu, Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen Gua Musang atas tuduhan mengeluarkan perkataan hasutan dalam ceramah ketika kempen PRK Nenggiri.
Kenyataannya didakwa berbaur hasutan diperincikan dalam lampiran kertas pertuduhan yang menurut transkrip itu, Muhyiddin mempersoalkan mengapa beliau tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri selepas PRU15, walaupun mendapat sokongan 115 Ahli Parlimen.
Muhyiddin juga akan berdepan perbicaraan atas empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta untuk Bersatu selepas Mahkamah Rayuan pada Rabu lalu menolak permohonan semakannya.
Sementara itu, Aminuddin Alias, ahli PAS dari Baling pula berpandangan mereka sudah faham dengan kes dihadapi Muhyiddin yang didakwa lebih bermotifkan dendam politik.
“Jadi kami tak anggap itu beban selagi mahkamah belum memutuskan beliau bersalah,” katanya.
Bagi Mohamad Soleh perwakilan dari Nibong Tebal, Ahli Parlimen Pagoh itu perlu berdepan hukuman jika keputusan mahkamah memutuskannya bersalah, namun meminta proses undang-undang berjalan tanpa ada halangan.
“Teruskan siasatan, kalau salah hukum ikut undang-undang, bukan guna kuasa kenakan musuh politik semata-mata, tapi yakin beliau mangsa politik dan tak bersalah,” katanya.