
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Mohammad Fahmi Ngah, berkata penubuhan pasukan khas dipengerusikan Pengarah Jais Mohd Shahzihan Ahmad susulan pendedahan polis berhubung sebuah syarikat tempatan yang dipercayai mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak teragak-agak menarik lesen operasi dan mengenakan tindakan tegas kepada pusat tahfiz atau sekolah agama yang didapati terlibat dengan unsur kesesatan demi menjamin keselamatan pelajar.
“Pihak Jais telah diarahkan dan sedang menjalankan pemantauan rapat, semakan dan saringan ke atas pusat tahfiz serta sekolah agama di negeri ini yang berdaftar dan belum berdaftar dengan Jais.
“Kerajaan Selangor komited dalam memastikan keselamatan pusat tahfiz dan sekolah agama berkenaan daripada menjadi pusat eksploitasi kanak-kanak serta sebaran ajaran bercanggah dengan agama Islam,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menyeru orang awam mempunyai maklumat berkenaan sekolah agama atau pusat tahfiz yang mengamalkan perkara bercanggah ajaran Islam melaporkan terus kepada Jais.
Rabu lalu polis menerusi Op Global berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak daripada 20 rumah amal yang mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.