
Mengulas pendapat perwakilan PAS menamakannya antara calon berpotensi menduduki jawatan itu, menteri besar Kedah terbabit menegaskan dirinya hanya orang parti yang akan mengikut arahan pimpinan.
“Saya tak sedia (jadi calon PM), cari orang lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS.
Beliau turut menegaskan tidak akan mengangkat dirinya dan tidak sesekali akan mengejar jawatan itu, sebaliknya fokus kepada tugas diberikan termasuk menjaga pentadbiran di Kedah.
“Saya ikut arahan parti dan tak akan jolok (angkat) diri,” katanya.
Terdahulu, FMT melaporkan pendapat perwakilan Pemuda PAS yang menamakan Sanusi, Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden berpotensi diketengahkan calon perdana menteri pada masa depan selain Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar.
Turut dinamakan Ahli Parlimen Bachok Mohd Syahir Che Sulaiman.
Sebelum ini, Samsuri yang juga menteri besar Terengganu dan Ahli Parlimen Kemaman diuar-uarkan berpotensi sebagai calon perdana menteri Perikatan Nasional (PN) pada masa depan yang diakui Pengerusi Muhyiddin Yassin.
Perkara itu dinyatakan Muhyiddin ketika berkempen untuk Samsuri di PRK Kemaman tahun lalu.