
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, sebaliknya menyarankan Mukhriz membuang stigma negatif bapanya, Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan penghalang utama Pejuang mengukuh dan menguatkan perjuangan mereka menarik lebih ramai akar umbi.

“Pejuang perlu memperluaskan kepimpinan, jika tak nak dibubarkan. (Persepsi) mesti diputuskan Mukhriz dan menjadikan beliau sebagai perdana menteri menerusi Pejuang mesti dihakis untuk menyelamatkan parti itu.
“Kalau perkara ini tak dapat dilakukan, maka elok bubar Pejuang saja,” katanya turut menyifatkan akar umbi Pejuang terlalu ‘rapuh’ sehingga gagal menjalin kerjasama dengan mana-mana gabungan besar.
Selasa lalu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi, dilaporkan memberi amaran parti itu tidak akan menerima Mukhriz yang dipecat pada 2016 kerana tidak memberi nilai tambah, sebaliknya imej buruk.
Beliau menyifatkan alasan Mukhriz enggan kembali ke pangkuan Umno disebabkan perbincangan membebaskan bekas perdana menteri Najib Razak dari penjara sebagai hujah dangkal.
Sabtu lalu, Mukhriz mengulangi pendiriannya tidak akan kembali ke pangkuan Umno, walaupun Zahid Hamidi tidak lagi mengetuai parti itu.
Pada 24 Jun 2016, Mukhriz bersama Muhyiddin Yassin dipecat Umno atas kesalahan disiplin kerana berkempen di pihak pembangkang sehingga menjejaskan parti.

Sementara itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya mencadangkan Pejuang melakukan reformasi strategi politik melalui kerjasama dengan parti kecil yang berkongsi agenda sama bagi meneruskan hayat parti tersebut.
Beliau berkata, langkah itu dapat memberi peluang baharu kepada Pejuang yang disifatkannya tidak memberi sebarang nilai tambah kepada politik Malaysia.
“Kekurangan sokongan yang signifikan daripada majoriti besar pengundi serta tidak dipercayai gabungan utama termasuk Barisan Nasional dan PN menunjukkan Pejuang sedang berdepan kesukaran mendapat tempat di pentas politik utama Malaysia.”