
Pengarah Eksekutif Rozana Isa berkata ia bukan sahaja tidak menghormati hak wanita, malah ‘meremehkan’ keupayaan mahupun kemampuan kaum hawa untuk berfikir sendiri.
“Semua warganegara Malaysia bebas untuk mengundi siapa wakil politik mereka. Perkahwinan tidak sepatutnya dijadikan sebagai alat politik,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, cadangan dangkal dan tidak beretika itu tidak harus ditimbulkan.

“Cadangan sedemikian hanya memaparkan sudut pandang PAS yang lebih cenderung kepada sifat patriarki.
“Adakah ini menunjukkan isteri ahli PAS tidak mampu berfikir atau bebas mengundi wakil politik yang mereka percaya? Ini merupakan pandangan jumud terhadap kebebasan wanita dalam kelompok masyarakat PAS sendiri,” katanya.
Semalam, Setiausaha Pemuda PAS Selangor Aubidullah Fahim Ibrahim mencadangkan ahli sayap itu berkahwin merentas kaum yang didakwanya secara tidak langsung dapat menambah undi bukan Islam dan Melayu kepada parti.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden kemudian berkata cadangan Aubidullah hanya pandangan perwakilan yang tidak perlu diambil serius.
“Bukan keputusan dibuat parti. Itu pandangan dia sebagai perwakilan muktamar, dia berhak suara pandangan..tak semestinya jadi keputusan,” katanya.
Hari ini, Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Nor tidak setuju dengan cadangan itu, sebaliknya menasihatkan mereka yang ingin mendirikan rumah tangga supaya ikhlas kerana Allah, bukan disebabkan perkara lain termasuk mendapat undi seperti dicadangkan Aubidullah.
“Nikah kahwin ini kerana Lillahi ta’ala (kerana Allah). Kahwin kerana undi tak sah, mungkin ucapan perwakilan sahaja bagi riuh (perbahasan Muktamar Pemuda PAS),” katanya selepas merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS.