Isu sijil halal tak jejas kerjasama Umno-DAP di Mahkota, kata Nga

Isu sijil halal tak jejas kerjasama Umno-DAP di Mahkota, kata Nga

Naib pengerusi DAP berkata sokongan kepada Umno sebagai manifestasi membalas budi kerjasama ketika parti itu menang di Kuala Kubu Bharu.

nga kor ming
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (dua kanan) menyampaikan sumbangan bagi menambah peralatan kesihatan kepada Pengarah Hospital Teluk Intan Dr Khairul Baharin Mohd Baharuddin (dua kiri) selepas merasmikan parkir awam hospital itu hari ini. (Gambar Bernama)
TELUK INTAN:
Pergeseran berkaitan isu pensijilan halal tidak sesekali menggugat persefahaman Umno dan DAP yang kini bersama dalam kerajaan perpaduan.

Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, berkata ia juga tidak akan menjejaskan kerjasama jentera dua parti itu menjelang PRK Mahkota pada 28 Sept ini.

“Yang penting, kami akan sokong calon kerajaan perpaduan. Perselisihan faham (antara Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok) biar pucuk pimpinan yang selesaikan.

“Tiada sesiapa yang terganggu. Fokus kita ialah memenangkan calon kerajaan perpaduan, tidak kira dia dari parti mana, dia mewakili kerajaan perpaduan, DAP dan seluruh jentera parti akan bertungkus lumus turun padang beramai-ramai untuk bantu,” katanya selepas majlis perasmian parkir awam Hospital Teluk Intan di sini.

Beliau ditanya adakah pergeseran antara Akmal dan Kok akan menjejaskan kerjasama Umno serta DAP pada PRK Mahkota.

Ketua Pemuda Umno Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah diumumkan calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK Mahkota.

Semalam, media melaporkan Kok mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Ahli Parlimen Merlimau itu menerusi firma Sankara Nair and Partners, menuntut ganti rugi RM25 juta daripada Akmal atas dakwaan putar belit kenyataannya berhubung isu pensijilan halal.

Nga berkata, sokongan kepada Umno pada PRK Mahkota juga sebagai manifestasi membalas budi kerjasama jentera Umno ketika DAP memenangi PRK Kuala Kubu Bharu.

“Saya ucap ribuan terima kasih kepada kawan-kawan Umno, saya percaya setiakawan amat penting untuk pastikan ekonomi dan politik negara kita stabil.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.