
Semua beras itu dirampas dalam satu operasi oleh Pejabat Kawalselia Padi dan Beras Tawau, di jeti berkenaan, kira-kira 4 petang, Selasa lalu, lapor Harian Metro.
Ketua cawangannya, Mohd Nur Edzudin A Bakar berkata, ketika serbuan didapati sebuah bot jongkong yang sedang memunggah barang dagangan di jeti berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan menemukan sejumlah 103 guni beras putih import bersubsidi disorok di bahagian ruang paling bawah bot jongkong terbabit yang dilitupi dengan beras pulut dan barangan lain.
“Sejumlah 5,150kg beras dengan nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM11,587.50 kemudiannya disita kerana disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran tanpa sebarang deklarasi dibuat oleh pemilik lesen barang dagangan.
“Barang rampasan kemudiannya dibawa dan di simpan di Gudang Bernas Tawau untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994,” katanya dalam kenyataan menurut Harian Metro.
Nur Edzudin juga menegaskan, pihaknya sentiasa memantau pergerakan dan aktiviti di semua jeti termasuk jeti haram bagi membanteras kegiatan penyeludupan beras di daerah itu.
“Individu yang disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, yang memperuntukkan denda tidak lebih RM15,000 atau enam bulan penjara atau kedua duanya sekali,” katanya.