
Beliau mendakwa semakin ramai orang bukan Melayu kini berani berterus-terang mengkritik DAP secara terbuka termasuk di TikTok yang perlu dimanfaatkan PAS.
Menurutnya, tanggapan komuniti itu penyokong Pakatan Harapan (PH) terutama DAP harus dikikis ahli Pemuda PAS menyebabkan mereka takut mendekatinya sebaliknya meletakkan ‘beban’ itu kepada Lajnah Perpaduan Nasional (LPN).
Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata usaha meningkatkan kefahaman kepada orang bukan Melayu terhadap perjuangan PAS termasuk dari segi komunikasi dengannya.
“Jika perlu ada kelas belajar Mandarin, belajar, kalau perlu bercakap Tamil, silakan.
“Rakan-rakan bukan Islam ini sebenarnya tidak sukar menerima kita…mereka boleh sekiranya diberi gambaran betul dan penjelasan tepat,” katanya dalam ucaptama Muktamar Dewan Pemuda PAS di Kompleks Al-Makmur, Kerdau.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man ketika merasmikan muktamar itu semalam meminta sayap terbabit melakukan anjakan paradigma dengan memberi fokus menarik sokongan bukan Melayu dalam misi menawan Putrajaya.
Beliau mengakui kelemahan PAS ketika ini adalah menarik sokongan komuniti terbabit.
Sementara itu, Afnan turut memberi amaran sayap itu akan turun ke jalanan untuk menumbangkan kerajaan sekiranya rakyat terus dihalang bersuara yang didakwanya berlaku kini.
Menurutnya, gerakan seumpama itu turut dilakukan pemimpin kerajaan sewaktu menjadi pembangkang termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim apabila tidak berpuas hati dengan pemerintah.
“Kalau kamu masih bertindak seperti lembu kenyang memekakkan telinga, kami sanggup turun ke jalan raya seperti kamu buat dahulu.
“Bagi menjatuhkan kamu dan merampas kembali kerajaan,” katanya.