
Ketua Pemuda, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata Setiausaha Pemuda PAS Selangor Aubidullah Fahim Ibrahim hanya menyampaikan ‘suara’ sebagai perwakilan dan ia perlu diraikan dalam setiap perbahasan.
“Bukan keputusan dibuat parti. Itu pandangan dia sebagai perwakilan muktamar, dia berhak suara pandangan…tak semestinya jadi keputusan,” katanya pada sidang media sempena Muktamar Pemuda PAS ke-65 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau.
Ketika melontarkan cadangan itu, Aubidullah berkata kahwin merentas kaum atau budaya bukan sekadar boleh tangkap satu undi tapi menangkap 10 malah ratusan undi daripada bukan Melayu dan Islam.
Secara berseloroh beliau turut mencabar Afnan dan Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar ‘memulakan’ langkah itu.
Sementara itu, Afnan mencabar Umno keluar kerajaan kerana dilihat gagal mempertahankan Islam apabila tidak mampu menentang keceluparan pemimpin DAP seperti Teresa Kok yang mencampuri urusan umat Islam berkaitan pensijilan halal.
Katanya, jika betul Umno mahu mempertahankan Islam dan Melayu parti itu perlu meninggalkan kerajaan perpaduan yang dibina bersama Pakatan Harapan dan tidak perlu bimbang kehilangan kuasa.
“Saya tak nampak pemimpin Umno dalam kerajaan hari ini boleh mempertahankan Islam. Kalau mereka boleh pertahankan Islam, kenapa DAP begitu lantang bersuara contohnya kenyataan Teresa dipertahankan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook.
“Ini maknanya DAP tak hirau suara pemimpin Umno kalau mereka bersuara dalam kerajaan,” katanya.
Ditanya sama ada PAS sedia bekerjasama dengan Umno jika parti itu keluar kerajaan, Afnan berkata mereka terbuka kerana usaha perpaduan ummah tidak pernah mati.