
Kok berkata, beliau kebetulan berjumpa dengan dua pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), ketika hadir mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi, di Parlimen.
Katanya, Timbalan Ketua Pengarah Jakim Sirajuddin Suhaimee, memberitahunya mereka datang ke Parlimen selepas memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman berhubung siasatan terhadapnya berkait cadangan tersebut.
“Nampaknya kontroversi pensijilan halal ini berlaku atas sebab salah-faham daripada pelbagai pihak,” katanya dalam catatan di Facebook.
Bagaimanapun, naib pengerusi DAP itu enggan mengulas lanjut, sambil berkata: “Saya rasa adalah lebih baik bagi Jakim untuk memberi penjelasan mengenai isu ini.”
Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Mohd Na’im Mokhtar, berkata Jakim akan mengkaji cadangan mewajibkan pensijilan halal kepada restoran, melainkan premis menghidangkan babi dan minuman beralkohol.
Dalam maklum balas, Kok berkata langkah itu dilihat menghalang kebebasan pilihan pengguna serta bertentangan semangat kepelbagaian budaya dalam negara.
Katanya, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.
Kenyataan berkenaan menimbulkan rasa kurang senang beberapa pihak termasuk Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, manakala Perdana Menteri Anwar Ibrahim menasihatkan Kok tidak menimbulkan kontroversi, selain menegaskan ia bukan pendirian Pakatan Harapan.