Cederakan anak saudara, penganggur dipenjara 9 tahun

Cederakan anak saudara, penganggur dipenjara 9 tahun

Azman Mohamed Nor, 48, turut sedang berdepan dakwaan membunuh ibu bapa dan seorang lagi anak saudaranya pada 9 Ogos.

Selain penjara 9 tahun, Azman Mohamed Nor, 48, turut dikenakan denda RM5,000, dan lima bulan penjara jika gagal membayarnya. (Gambar Bernama)
MUAR:
Seorang penganggur yang dituduh membunuh ibu bapa serta anak saudaranya sebelum membakar kediaman mereka pada Ogos lepas, dihukum penjara sembilan tahun atas dakwaan berasingan menyebabkan kecederaan parah pada seorang lagi anak saudaranya.

Hakim Mahkamah Sesyen Muar Nariman Badruddin hari ini menjatuhkan hukuman itu selepas Azman Mohamed Nor, 48, mengaku bersalah.

Nariman turut menetapkan denda RM5,000, dan lima bulan penjara jika Azman gagal membayarnya.

Azman didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap anak saudaranya berusia 14 tahun menggunakan sebatang kayu di sebuah rumah di Jalan Sekolah Kampung Paya Redan, Muar, antara 1 pagi hingga 3 pagi pada 9 Ogos lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara hingga 20 tahun, dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Arif Marzuki mencadangkan hukuman setimpal dikenakan atas faktor kecederaan parah dialami mangsa terutama pada bahagian kepala yang boleh membawa kematian, manakala tangannya patah.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman diringankan kerana dia sudah menyesal, rasa bersalah dan insaf sepanjang penahanannya.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian, mangsa bersama adik tirinya Noradriana Nor Hasyim, 11, cuba mendapatkan bantuan tertuduh selepas bergegas keluar dari rumah yang sedang terbakar, namun lelaki itu memukul mangsa di kepala sehingga rebah.

Tertuduh yang menyangka mangsa pengsan beredar dari tempat kejadian, namun mangsa lari ke rumah jiran sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Fatimah bagi mendapatkan rawatan.

Ketika kembali ke tempat kejadian kemudian, Azman yang mendapati mangsa tiada, tergesa-gesa meninggalkan tempat itu dengan menaiki motosikal.

Dia kemudiannya berjaya ditahan di tepi Jalan Sultan Ismail berhadapan Pasaraya Lot 10, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 1.13 pagi, 14 Ogos.

Hasil analisis pemeriksaan terhadap mangsa mendapati dia mengalami kecederaan luka pada bahagian kepala sebelah kanan dan mendapat lapan jahitan manakala X-ray menunjukkan satu tulang tangannya patah.

Pada 20 Ogos lepas, Azman didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82; Ara Ab Hamit, 76; dan Noradriana di rumah beralamat sama pada waktu yang sama.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun, dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah dihukum dengan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh dan mahkamah menetapkan 24 Okt untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.