
“Berdasarkan sumber daripada pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, pencemaran bau kimia masih boleh dihidu di sekolah terbabit,” katanya menurut Sinar Harian.
Sebelum ini, Sekolah Kebangsaan Kampung Maju Jaya yang mempunyai 1,024 murid dan 64 guru diarahkan tutup mulai 1 tengah hari Isnin lalu selepas 21 muridnya mengalami sesak nafas, loya dan pening kepala akibat terdedah pencemaran bau.
Keesokannya, dua sekolah swasta iaitu Sekolah Rendah Islam Hidayah dengan 1,232 murid dan Sekolah Menengah Islam Hidayah (807 pelajar) pula ditutup.
Sementara itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khaled, berkata Sekolah Agama Kampung Maju Jaya yang mempunyai 630 murid serta 12 guru diarahkan tutup sementara bermula Selasa lalu.
Katanya, Jabatan Agama Islam Negeri Johor menerusi Bahagian Pendidikan Islam memberi kebenaran kepada semua institusi berdaftar yang terkesan pencemaran itu tidak beroperasi buat sementara.
“Arahan penutupan pengoperasian sekolah ini dikeluarkan untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku kepada murid, guru dan kakitangan sekolah ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah.”
Beliau berkata, Sekolah Agama Kampung Melayu Pandan diarahkan tutup sehari minggu lalu.