Wajibkan prasekolah jika tak mahu ramai murid gagal membaca, kata ahli akademik

Wajibkan prasekolah jika tak mahu ramai murid gagal membaca, kata ahli akademik

Anuar Ahmad bimbang pendedahan seramai 122,062 murid Tahun 1 sesi 2024/2025 gagal menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

Anuar Ahmad menggesa kerajaan turut menumpukan perbelanjaan kepada pendidikan awal di peringkat prasekolah pada Belanjawan 2025.
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu mewajibkan pendidikan prasekolah bagi mengelakkan ramai murid Tahun 1 gagal menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) seperti dialami 122,062 orang untuk sesi 2024/2025.

Pakar sosiologi pendidikan Anuar Ahmad berpendapat tidak adil untuk mengasingkan mereka ke kelas intervensi ketika kerajaan tidak mewajibkan pendidikan awal untuk semua kanak-kanak berusia lima dan enam tahun.

Anuar Ahmad.

“Peringkat awal dasar mestilah mewajibkan dahulu prasekolah, jadi anak-anak ini terhukum dengan peraturan di mana pra sekolah tidak wajib tapi bila Tahun 1 wajib kuasai 3M.

“Kalau kita mahu anak-anak kuasai 3M pada minggu pertama Tahun 1, mereka perlu wajib ke prasekolah dan jika gagal kuasai 3M hantar ke kelas pemulihan. Itu lebih adil,” kata ahli akademik dari Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu kepada FMT.

Kelmarin, Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata seramai 122,062 daripada 448,113 murid Tahun 1 sesi 2024/2025 perlu mengikuti kelas intervensi kerana gagal menguasai 3M.

Mengulas lanjut, Anuar berkata statistik terbaharu itu ibarat amaran terakhir kepada KPM untuk meneliti semula dasar sedia ada sistem pendidikan awal kanak-kanak.

“Langkah intervensi ini hanya bersifat sementara, kita tidak boleh selamanya bergantung kepadanya… kerajaan perlu teliti dasar jelas untuk pastikan anak-anak kita menguasai 3M sebelum Tahun 1.

“Jika tidak, jumlah keciciran 3M ini akan bertambah lagi tahun depan,” katanya yang menyifatkan perkembangan itu sebagai kritikal dalam sistem pendidikan negara.

“Jika diwajibkan (prasekolah), jumlahnya tak akan sampai 122,000 orang… mungkin jauh lebih kecil,” katanya yang menggesa kerajaan menumpukan kepada pendidikan pra sekolah pada Belanjawan 2025 bakal dibentangkan, bulan depan.

Mastura Badzis.

Sementara itu, Mastura Badzis, pakar pendidikan awal kanak-kanak dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berpendapat tindakan mengasingkan murid ke kelas berbeza daripada arus perdana hanya memberi tekanan kepada mereka.

Sebaliknya, beliau berkata pihak pentadbir sekolah dan KPM perlu mencari kaedah bagaimana mahu memupuk minat membaca dalam kalangan murid berbanding memaksa mereka untuk tahu membaca.

“Sangat tak wajar (tiga bulan kuasai 3M), kerana tempoh itu patut tumpu kepada usaha bagaimana nak pupuk minat membaca, bukan paksa membaca.

“Seperti di negara maju, mereka tak bagi tekanan kepada murid-murid kena pandai membaca, tetapi lebih tekankan seronoknya membaca, apakah manfaat dari buku yang dibaca,” katanya.

Saedah Siraj.

Saedah Siraj dari Universiti Malaya pula berpandangan jika masalah penguasaan 3M tidak diatasi di peringkat awal, dikhuatiri kadar buta huruf di kalangan rakyat negara ini semakin tinggi.

“Jadi program di prasekolah perlu diseragamkan dan gerakan besar-besaran perlu diambil,” katanya merujuk program pendidikan kerajaan dan swasta.

Beliau turut mencadangkan KPM mewujudkan subjek membaca, tambahan kepada subjek sedia ada.

“Kajian di sekolah perlu dilaksanakan kerana perubahan dan pelaksanaan program memerlukan data. Usaha secara kolektif amat diperlukan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.