
Ketua pengarahnya, Akma Ngah Hamid, berkata jumlah import meningkat 41.7%, daripada 295,000kg pada 2020 kepada 1.58 juta kg pada 2023.
“Malaysia mendapatkan sumber gelatin daripada Pakistan, Bangladesh, dan India, semuanya melibatkan kilang diluluskan JPV dan berasal daripada lembu,” katanya kepada FMT.

Akma berkata produk haiwan termasuk gelatin, hanya boleh diimport menggunakan permit daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
“Syarat import mesti dipenuhi sebelum produk boleh dibawa masuk ke Malaysia,” katanya.
“Langkah pematuhan akan dipantau oleh Maqis menerusi pemeriksaan permit dan barangan import di pintu masuk negara,” katanya.
Pada Jun tahun lalu, 18 tan gelatin dari Pakistan dirampas Maqis Selangor ketika cuba diseludup masuk menerusi Pelabuhan Klang.
Pengarah Maqis Selangor Sobri Md Hashim berkata gelatin itu, yang bernilai lebih RM635,000, tidak mematuhi syarat pembuatan seperti dinyatakan dalam permit import.
Pada April 2022, Maqis Pulau Pinang menghalang cubaan menyeludup masuk 3,000kg gelatin lembu dari China.
Pengarah Maqis negeri Ikram Abd Talib berkata gelatin lembu bernilai lebih RM40,300 itu dibawa masuk tanpa permit import sah.
Katanya, gelatin itu bertujuan digunakan dalam industri tempatan.