Terengganu mansuh larangan jual padi ke negeri lain

Terengganu mansuh larangan jual padi ke negeri lain

Exco Azman Ibrahim berkata ia bagi memberi ruang pendapatan lebih baik kepada pesawah dan mewujudkan saingan lebih sihat pengusaha kilang padi di Terengganu.

Jumlah pengeluaran hasil padi di seluruh Terengganu kira-kira 63,760 metrik tan setahun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Terengganu memansuhkan larangan menjual padi ke negeri lain selepas lebih tujuh bulan permit pemindahannya dari negeri ini dibekukan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri Azman Ibrahim berkata keputusan itu bagi memberi ruang pendapatan lebih baik kepada pesawah dan mewujudkan persaingan lebih sihat dalam kalangan pengusaha kilang padi di Terengganu.

“Keputusan memansuhkan larangan penjualan padi ke negeri lain dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Padi negeri kelmarin. Keputusan itu dibuat selepas kita mendapati harga belian padi di negeri ini lebih rendah, jika dibandingkan di negeri lain,” katanya menurut Harian Metro.

Difahamkan, kawasan penanaman padi di seluruh Terengganu seluas 12,542 hektar dengan 5,323 hektar membabitkan kawasan dalam jelapang dan 7,221 hektar di luar kawasan jelapang.

Jumlah pengeluaran hasil padi di seluruh Terengganu kira-kira 63,760 metrik tan setahun.

Mac lalu, kerajaan negeri mengarahkan semua permit pemindahan keluar padi dari negeri ini dibekukan bagi mengelakkan hasil padi negeri dijual ke negeri lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.