Polis tahan penganggur, rampas ganja RM203,000

Polis tahan penganggur, rampas ganja RM203,000

Suspek disyaki bungkus semula bekalan dadah dibeli dalam pek lima gram hingga sekilogram.

Ketua Polis Cheras Ravindar Singh Sarban Singh, berkata keseluruhannya ganja seberat 65.6kg dirampas dalam dua serbuan di Cheras dan Segambut. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis menahan seorang penganggur dan merampas ganja 65.6kg dianggar RM203,632 dalam dua serbuan di kondominium di Cheras dan Segambut, Khamis lalu.

Ketua Polis Cheras Ravindar Singh Sarban Singh, berkata lelaki berusia 30-an itu ditahan di Cheras pada 9 malam, yang kemudian membawa kepada penemuan ganja seberat 62.56kg hasil pemeriksaan di unit kondominium.

Beliau berkata, turut dirampas sebuah kereta Perodua Axia dan wang tunai RM100.

“Hasil soal siasat terhadap lelaki itu, polis bertindak ke sebuah lagi kondominium di Segambut dan pemeriksaan menemukan 3.1kg ganja bersama peralatan penimbang dan ‘vacuum sealer’, dipercayai digunakan dalam pembungkusan dadah itu,” katanya pada sidang media.

Ravindar Singh berkata, siasatan awal pihaknya mendapati suspek yang bergerak aktif sejak awal tahun ini menyewa kondominium di Segambut bagi menyimpan dan membungkus semula dadah dibeli.

Beliau berkata, lelaki itu dipercayai membeli dadah berkenaan daripada seorang individu tempatan di bandar raya ini, sebelum dibungkus semula dalam pek seberat lima gram hingga satu kilogram untuk dijual kepada penagih.

“Dianggarkan jumlah dadah dirampas boleh digunakan 131,370 penagih dan berikutan itu polis sedang memburu individu yang dipercayai membekal dadah kepada suspek ” katanya.

Beliau berkata, lelaki itu direman seminggu hingga esok dan dijangka disambung reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.