
Dalam kejadian di Taman Setia Tropika, Johor Bahru, semalam, suspek berusia 40 tahun pada 10 malam semalam, berpura-pura mahu menguji kenderannya yang dihantar untuk dibaiki, pada 7 Sept.
Ketua Polis Johor Bahru Utara Balveer Singh Mahindar Singh, berkata kejadian itu dilaporkan pemilik bengkel tersebut yang berusia 29 tahun.
“Pada 10 malam semalam, lelaki itu datang kembali ke bengkel bersama seorang rakannya dan berpura-pura mahu menguji kenderaan tersebut. Pengadu mengarahkan seorang pekerja mengikut suspek kerana bimbang dia melarikan diri tanpa membuat pembayaran.
“Semasa ujian pemanduan di kawasan Taman Bukit Kempas, suspek meminta pekerja keluar untuk memeriksa bunyi bising di kawasan bonet kenderaan. Apabila pekerja membuka pintu, rakan suspek menyembur pemedih mata sebelum suspek melarikan kenderaan,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Beliau berkata, pengadu cuba menahan kenderaan itu ketika ia melintasi hadapan kedai dengan memegang cermin sisi kenderaan, bagaimanapun cuba dirempuh.
“Kemudian, seorang lagi pekerja bengkel yang cuba mengejar suspek menggunakan motosikal telah dihimpit sehingga jatuh,” katanya.
Balveer ketika mengulas lanjut, berkata akibat insiden itu, pengadu cedera pada siku kanan, seorang pekerja mengalami pedih mata, manakala seorang lagi pekerja patah tangan kanan, luka di lutut kanan, selain melecur pergelangan tangan kiri.
Polis kini giat mengesan kedua-dua suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai mempunyai maklumat berkait kejadian boleh menyalurkannya kepada pegawai penyiasat menerusi talian 019-3811817.