
Setiausaha Kerajaan Pahang, Zulkifli Yaacob, berkata hantaran dimuat naik di Facebook Save Musang King Alliance (Samka) semalam, seolah-olah memberikan gambaran kerajaan negeri menyalahgunakan kuasa dan membuat ugutan melalui cara tidak berperikemanusiaan.
“Ini merupakan satu dakwaan yang tidak berasas dan cubaan untuk memainkan persepsi negatif terhadap kerajaan negeri serta Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).
“Kerajaan negeri sentiasa menjunjung tinggi prinsip kedaulatan undang-undang dan tidak sesekali akan mengambil tindakan di luar prinsip terbabit,” katanya dalam kenyataan, menurut Bernama.
Zulkifli berkata, kerajaan negeri sentiasa mematuhi penghakiman Mahkamah Tinggi di Kuantan dan perintah Mahkamah Rayuan di Putrajaya yang berkuat kuasa.
Katanya, kerajaan negeri kekal menegakkan undang-undang dan bertekad melaksanakan penguatkuasaan bagi memastikan aktiviti pencerobohan tanah secara haram atas tanah kerajaan ditangani sebaik mungkin.
“Saya akan memastikan siasatan menyeluruh tuduhan Samka ini dan kerajaan negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap cubaan untuk memburukkan imej kerajaan negeri. Saya berharap orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan cubaan memfitnah tidak bertanggungjawab sebegini,” katanya.