
“Kita tidak berhasrat meneruskannya (rancangan penghalaan),” kata Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil ketika ditanya sama ada inisiatif itu masih dipertimbangkan.
Fahmi, yang juga menteri komunikasi, hujung minggu lalu meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak meneruskan penghalaan DNS, susulan maklum balas diterima menerusi siri libat urus SKMM bersama khalayak.
Bagaimanapun, beliau berkata pengawal selia internet negara itu akan berterusan melaksanakan libat urus dengan semua pihak berkepentingan bagi mengumpul maklum balas dan cadangan bagi mencapai objektif bersama iaitu ‘keselamatan internet’.
Sebelum ini, SKMM menekankan hanya laman web berbahaya, terutama pornografi dan judi dalam talian, disekat manakala laman web sebaliknya kekal boleh diakses.
Pelayan DNS menghalakan trafik internet dari pengguna kepada laman web sasaran. Sesetengah pengguna memilih pelayan pihak ketiga seperti Google DNS (8.8.8.8) atau Cloudflare (1.1.1.1) bagi capaian lebih pantas dan manfaat lain.
Fahmi berkata, keutamaan adalah memastikan internet selamat buat kanak-kanak.
Ditanya sama ada Malaysia akan mengikut langkah Australia mengenakan minimum umur 16 tahun bagi penggunaan platform media sosial, menteri itu berkata ia sesuatu yang telah dibincangkan sebelum ini.
“Saya telah bangkitkan perkara itu dengan platform media sosial beberapa kali.
“Setiap kali kita mengadakan perbincangan itu, garis panduan mereka sendiri tidak membenarkan,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata realitinya adalah berbeza, sambil meletakkan kesalahan ke atas kelemahan pelaksanaan sekatan umur oleh syarikat media sosial.
Katanya, dengan pelaksanaan pelesenan yang bakal menyusul, beliau berharap platform media sosial akan lebih serius menanganinya.
Pada Julai, SKMM berkata platform media sosial yang mempunyai lebih lapan juta pengguna di negara ini dikehendaki memohon lesen sebagai antara langkah memerangi jenayah siber.
Peraturan itu akan dikuatkuasakan bermula 2025.
Sementara itu, Fahmi berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar diarahkan menghantar laporan penuh kepada Jemaah Menteri berkait kajian cadangan mewajibkan pensijilan halal terhadap semua restoran, kecuali premis menghidangkan daging babi dan minuman beralkohol.
Katanya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu melihat dapatan kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenai cadangan itu.