Gelandangan laku amang seksual pelajar dipenjara 5 tahun, 1 sebatan

Gelandangan laku amang seksual pelajar dipenjara 5 tahun, 1 sebatan

Mahkamah Sesyen Muar memerintahkan hukuman terhadap Ho Khek Chung, 50, bermula dari tarikh dia ditahan pada 31 Julai lalu.

mahkamah muar
Ho Khek Chung, 50, dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Muar hari ini. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang gelandangan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Muar hari ini selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar di sebuah pasar malam di Kluang, Johor pada Julai lalu.

Hakim Sayani Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Ho Khek Chung, 50, selepas mengambil kira pengakuan bersalah dan pemberatan hukuman daripada pihak pendakwaan terhadap kesalahan tertuduh, lapor Berita Harian.

Beliau memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditahan pada 31 Julai lalu selain menjalani pengawasan polis selama setahun sebaik selesai hukuman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ho didakwa melakukan perbuatan itu terhadap pelajar perempuan berusia 15 tahun di sebuah pasar malam di Kluang pada 4.15 petang, 31 Julai lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, mangsa ditemani ibunya ke pasar malam terbabit untuk membeli makanan.

Ketika mangsa berselisih dengan tertuduh, lelaki itu mengambil kesempatan melakukan perbuatan terbabit.

Selepas kejadian itu, mangsa menangis dan menceritakan kepada ibunya sebelum membuat laporan di IPD Kluang pada hari sama.

Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.