
Exco Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin, berkata tiga sekolah terbabit adalah SK Kampung Maju Jaya dan dua sekolah swasta iaitu Sekolah Rendah Islam Hidayah dan Sekolah Menengah Islam Hidayah.
Katanya, SK Kampung Maju Jaya membabitkan 974 murid dan 64 guru, Sekolah Rendah Islam Hidayah dengan 1,232 murid serta 92 guru, manakala Sekolah Menengah Islam Hidayah mempunyai 807 pelajar dan 75 guru.
“Setakat ini, tiga sekolah ini akan melaksanakan PdPR pada hari ini saja, bergantung kepada situasi dan laporan semasa,” katanya menurut Berita Harian.
Semalam, SK Kampung Maju Jaya diarahkan tutup selepas 21 muridnya mengalami gejala ringan, termasuk loya akibat terdedah pencemaran bau di kampung itu sejak awal pagi.
Aznan berkata pihaknya masih menunggu arahan Kementerian Pendidikan berhubung tempoh penutupan sekolah itu.
Di Kota Tinggi pula, seramai 38 penduduk dari Kampung Orang Asli Pasir Intan berpindah ke Balai Raya Orang Asli Kampung Sayong Pinang semalam susulan pencemaran bahan kimia di kampung itu sejak Khamis lalu.
Pemindahan 10 keluarga itu selepas penduduk dilaporkan mengalami sakit tekak, loya, pening kepala, pedih mata, muntah, sesak nafas dan demam.
Pada Rabu lepas, Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor Mohd Rashdan Topa dilaporkan berkata pihaknya mengesan gas ammonia dengan bacaan kepekatan tinggi menerusi pemantauan kualiti udara yang dilakukan di Sungai Pandan, Kampung Melayu Pandan di Johor Bahru pada Selasa.