
Dalam kenyataan, Aaron berkata Jemaah Menteri bersetuju pada Ogos 2020 bagi penubuhan JK Harmoni, diurus bersama kementeriannya dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin adalah perdana menteri ketika itu.
Aaron berkata, tuduhan Badrul amat keterlaluan dan tidak benar sama sekali, kerana jawatankuasa itu adalah satu-satunya platform diwujudkan kerajaan untuk merapatkan jurang antara badan agama Islam dan selain Islam.
Beliau berkata, antara fungsi utama jawatankuasa adalah mencadangkan kepada kerajaan pelaksanaan strategi serta berteraskan nilai murni keagamaan demi meningkatkan kefahaman dan keharmonian mengenai kepelbagaian agama.
Katanya, selain itu ia bertujuan melaksanakan secara bersama aktiviti kesedaran dan keharmonian antara penganut agama demi manfaat masyarakat.
Menurutnya, jawatankuasa itu dipengerusikan olehnya bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Mohd Na’im Mokhtar, dan wakil Jakim serta Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim).
“Saudara Chegubard turut membuat tuduhan palsu dengan menyatakan bahawa kehadiran anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) ke Rumah Ibadat Selain Islam (Risi) melalui Program Harmoni Madani melibatkan aktiviti ritual dengan tujuan untuk menyamaratakan agama lain dengan Islam.
“Saya ingin menekankan sekeras-kerasnya bahawa pelaksanaan Program Jejak Harmoni iaitu salah satu program bawah Inisiatif Harmoni Madani tidak langsung menyentuh tentang akidah atau amalan ritual mana-mana agama,” katanya.
Tegasnya, program itu bertujuan menyebarkan semangat kebersamaan, saling memahami, mengangkat nilai sejagat antara agama, sekali gus mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang agama, bangsa, dan budaya.