‘Abang Bas’ didakwa 2 tuduhan amang seksual

‘Abang Bas’ didakwa 2 tuduhan amang seksual

Bagaimanapun, pemandu bas sekolah berusia 24 itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Sayani Mohd Nor.

Seorang pemandu bas sekolah yang dikenali di TikTok sebagai ‘Abang Bas’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar di Johor atas dua tuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang pemandu bas sekolah yang memuat naik kandungan murid di akaun TikTok miliknya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar di Johor atas dua tuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak.

Tertuduh yang berusia 24 tahun membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor, lapor Sinar Harian.

Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan mencium pipi kanak-kanak perempuan yang juga anak saudaranya berusia empat tahun antara antara jam 5 hingga 6 petang di dalam sebuah bas sekolah di Simpang Renggam pada April hingga Sept 2024.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal dengan memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang bagi maksud seksual antara jam 5 petang hingga 6 petang bertempat di dalam bas sekolah di alamat sama, pada bulan ini.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Pengarah Pendakwaan Negeri, Abdul Ghafar Ab Latif mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 bagi setiap pertuduhan dan memohon syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa serta kakak dan ibunya yang juga saksi pendakwaan.

Tertuduh yang diwakili peguam Umar Zulkarnain merayu agar jaminan rendah dikenakan dengan alasan tertuduh tidak mempunyai gaji tetap kerana hanya bekerja sebagai pemandu bas sekolah.

Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 10 Okt ini untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Sebelum ini, tular di TikTok seorang lelaki yang juga pemilik akaun ‘Abang Bas’ menggelar seorang penumpang dipercayai murid sekolah rendah sebagai ‘crush’ dan ‘kesayangan’.

Pemandu bas sekolah itu yang mempunyai lebih 640,000 pengikut di TikTok, sering memuat naik video jelas memaparkan wajah murid yang menjadi penumpangnya.

Susulan video itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-kanak (JPKK) membuat laporan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.