Kim Kardashian, bekas suami terima dana 1MDB, kata ketua penyiasat

Kim Kardashian, bekas suami terima dana 1MDB, kata ketua penyiasat

Richard Templeman yang mengetuai siasatan penyelewengan dana 1MDB dan SRC International berkata Jho Low turut memindahkan USD2.025 juta kepada penyanyi Pharrell Williams.

Penyiasat penipuan kewangan, Richard Templeman berkata ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho memindahkan USD306,000 kepada Kim Kardashian dan USD100,000 lagi kepada wanita itu serta bekas suaminya. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Selebriti Hollywood, Kim Kardashian dan bekas suaminya, Kris Humphries disebut-sebut menerima wang USD406,000 milik 1MDB dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Penyiasat penipuan kewangan, Richard Templeman, berkata ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau Jho Low memindahkan USD306,000 kepada Kim serta USD100,000 lagi kepada wanita itu dan bekas suaminya.

Richard yang mengetuai siasatan penyelewengan dana 1MDB dan SRC International berkata, Jho Low yang didakwa dalang di sebalik penipuan kewangan global itu turut memindahkan USD2.025 juta kepada penyanyi dan komposer Amerika Syarikat, Pharrell Williams melalui Talamasca Inc.

“Siasatannya mendedahkan Jho Low memindahkan berjuta-juta dolar yang didakwa diterima daripada 1MDB melalui syarikat samarannya, Good Star Ltd,” katanya dalam pernyataan saksi menurut Kosmo.

Pendedahan itu dibuat ketika beliau memberi keterangan dari pejabatnya di United Kingdom dalam kes saman USD6.59 bilion yang difailkan 1MDB terhadap bekas pengerusinya, Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas ketua pegawai eksekutifnya, Arul Kanda Kandasamy.

Richard yang berpengalaman 24 tahun dalam menyiasat penipuan jenayah kewangan kompleks memberi keterangan sebagai saksi plaintif pertama dalam perbicaraan dijalankan melalui aplikasi Zoom.

Beliau berkata, Jho Low mendapat dana itu daripada perjanjian usaha sama 1MDB dan PetroSaudi Limited, di mana USD1.03 bilion diseleweng dan dipindahkan ke Good Star.

Katanya, beberapa siri pemindahan dana ke syarikat luar pesisir itu digunakan untuk manfaat rakan konspirasi, saudara-mara dan sekutu mereka.

Menurutnya, Good Star turut memindahkan USD13.5 juta ke akaun Bank Riyad atas nama Putera Faisal Bin Turki Al-Saud dan Putera Saud Bin Abdulaziz Al-Saud (dikenali sebagai akaun Al-Saud), iaitu USD12 juta pada 10 Jun 2011 serta USD1.5 juta pada 30 Jun 2011.

“Pada 13 Jun 2011, sejurus menerima USD12 juta daripada akaun Good Star, USD10 juta dipindahkan daripada akaun Al-Saud ke akaun AmBank (AmPrivate Banking-MR) milik Najib Razak.”

Katanya, beliau menyemak penyata akaun AmBank Najib dan dapat memadankan jumlah wang dimasukkan dalam ringgit dengan transaksi yang dinyatakan dibayar dalam dolar AS menggunakan penukaran mata wang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.