
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata mereka juga akan membincangkan lanjutan tempoh pengecualian itu daripada Disember 2025 kepada akhir 2026.
Beliau berkata perkara itu dijangka dibangkitkan dalam pertemuan Zahid bersama Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam China Wang Xiaohong, pada sesi tertutup Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global Lianyungang (GPSCFL) esok.
“Pendirian kita (Malaysia) dengan memberi visa percuma kepada rakyat China atas alasan untuk menggalakkan industri pelancongan, iaitu 30 hari…Zahid bincangkan sebelum ini agar China saling bertukar kerana sekarang China beri kita (pelancong Malaysia) hanya 15 hari (tanpa visa).
“Dalam perbincangan tertutup esok, kita akan bawa semula perkara itu. Di peringkat perbincangan pegawai, China sudah menunjukkan reaksi positif, namun belum menjadi ketetapan. Positifnya kerana sedia untuk berbincang,” katanya pada sesi bersama media Malaysia.
Zahid dijadual memulakan rangka lawatan ke China mulai hari ini hingga 12 Sept ini sempena GPSCFL di bandar Lianyungang, wilayah Jiangsu pada 8 dan 9 Sept atas undangan bersama Pengerusi GPSCFL, Tsang Wai-Hung dan Presiden Persatuan Persahabatan China, Chen Zinmin.
Media sebelum ini melaporkan ketika lawatan rasmi Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia Jun lalu, China bersetuju melanjutkan pengecualian visa itu kepada rakyat Malaysia sehingga akhir 2025, manakala Malaysia melanjutkan kemudahan sama kepada rakyat China sehingga hujung 2026.
Langkah dua negara itu bagi menyokong usaha berterusan pengecualian visa bagi memupuk serta mengukuhkan hubungan persahabatan Malaysia-China.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, isu jenayah rentas sempadan melibatkan pemerdagangan manusia dan jenayah siber turut menjadi fokus Malaysia dalam forum itu yang disifatkannya cabaran baharu serta memerlukan komitmen bersama.
“Bagi Malaysia dan China dalam jenayah rentas sempadan, tentunya ia mencakupi pelbagai perkara bahawa kedua-dua negara bersetuju melihat dari segi kapasiti kerjasama meningkatkan keupayaan terhadap badan penguat kuasa dan perkongsian maklumat khusus berkenaan aktiviti jenyah rentas sempadan.
“Ini kerana kerjasama tersebut perlu ada keberhasilan, umpamanya perkongsian maklumat tentang aktiviti dadah atau jenayah yang berupa jenayah siber atau penipuan kewangan dan untuk perkara itu, kedua-dua negara harus ada komitmen ke arah berkongsi maklumat.”
Malaysia dan China sebelum ini memeterai lanjutan perjanjian bagi kerjasama membanteras jenayah rentas sempadan berkuat kuasa hingga 2034 dalam Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama Malaysia-China Kali Kelima Mengenai Pembanterasan Jenayah Rentas Sempadan (JWG Ke-5) di Beijing pada Jun.
Saifuddin berkata, dalam persidangan berkaitan perkara itu di Laos baru-baru ini, setiausaha agung Asean mendedahkan jenayah rentas sempadan menjadi trend global semakin meningkat sejak dua tahun lalu dengan nilai kerugian mencecah USD1.02 trilion.
Pada masa sama, katanya, beliau memulakan perbincangan awal dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha merangka senarai keutamaan ancaman keselamatan dan jenayah negara bagi menjadikan usaha menyelesaikan ancaman keselamatan dan jenayah lebih berfokus.
“Kalau kita lihat, setiap negara mempunyai senarai keutamaan (ancaman jenayah), misalnya di China, keutamaan dia ialah penipuan kewangan…saya melihat Malaysia juga perlu ada dan ini juga memudahkan kita memperkukuh kerjasama dengan negara yang mempunyai turutan keutamaan sama.”
Di peringkat Asean, beliau berkata, dalam senarai keutamaan keselamatan dan jenayah blok itu, pelanunan di laut dan jenayah ekonomi antarabangsa digugurkan, manakala elemen baharu penipuan dalam talian dimasukkan.