
Naib pengerusi DAP itu berkata, cadangan mewajibkan pensijilan halal itu dibangkitkan secara terbuka oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar, tanpa mengadakan libat urus dengan wakil rakyat terlebih dahulu.
“(Justeru) saya tidak dapat membangkitkan pandangan saya melalui saluran dalaman,” katanya dalam kenyataan, berikutan teguran daripada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Pada Khamis, Na’im berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mengkaji cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan di negara ini, yang tidak menghidangkan daging babi dan alkohol, memiliki sijil halal.
Membidas cadangan itu, Kok berkata, ia hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.
Katanya, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.
Anwar dilaporkan berkata awal hari ini, mana-mana pemimpin politik harus mengemukakan sebarang cadangan atau kebimbangan mengenai sesuatu perkara dalam mesyuarat supaya perkara itu boleh diteliti secara menyeluruh.
Menurutnya, kenyataan Kok ‘menimbulkan kontroversi yang tidak relevan dalam masyarakat kita’.
Kok dalam kenyataannya berkata, sebagai wakil rakyat, beliau bertanggungjawab mengutarakan masalah dan suara hati rakyat berbilang kaum.
“Itu sebabnya saya minta kerajaan mengkaji semula cadangan ini. Kenyataan saya tidak sama sekali bermaksud saya mempersoalkan pensijilan halal, peranan Jakim atau tidak menghormati agama Islam.”
Tambahnya, beliau menyokong usaha kerajaan, khususnya Jakim, untuk mempromosi pensijilan halal dalam industri makanan dan minuman, memandangkan standard Jakim adalah antara yang tertinggi di dunia.
Kenyataan Kok sebelum ini mengundang kritikan daripada pelbagai pihak termasuk Ketua Pemuda Bersatu Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, serta Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.
Polis sebelum ini berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung perkara ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) siasatan 3R (kaum, agama, raja).