
Loke, yang juga menteri pengangkutan, berkata beliau maklum kenyataan Teresa Kok berkait hal itu, sambil menyatakan apa diperkatakan naib pengerusi DAP berkenaan berkait ‘kebimbangan’ pemilik restoran bukan Islam.
Katanya, soal pensijilan pastinya melibatkan pindaan kepada beberapa undang-undang sebaik berada di peringkat keputusan kelak.
“Biasalah dalam negara kita ini, banyak isu-isu dipolemikkan. Ini mungkin daripada pemimpin-pemimpin yang bukan duduk dalam kerajaan.
“Sedangkan kita yang berada dalam kerajaan sudah tentu nak bincang dan selesaikan dalam peringkat kerajaan melalui Jemaah Menteri,” katanya menurut Sinar Harian pada sidang media selepas rasmi Konvensyen Biasa DAP Perak, di Ipoh.
Pada Jumaat, Kok cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal, namun ia mengecualikan premis menghidangkan daging babi atau minuman beralkohol.
Loke ketika mengulas lanjut, berkata sebagai Ahli Parlimen Seputeh menjadi tanggungjawabnya menyatakan pandangan yang mungkin diperolehi daripada pengundi-pengundinya.
“Itu sebabnya beliau menyatakan kebimbangan sedemikian. Apa yang dilontarkan itu satu kebimbangan daripada masyarakat, khususnya masyarakat bukan Islam,” katanya.