
Penasihat Pertubuhan Sahabat Tomyam Prihatin SeMalaysia (Sahabat Tomyam), Che Mamad Che Mod, berkata cadangan itu adalah langkah baik terutama dalam memastikan kualiti dan kesahihan status halal restoran dimiliki bukan Islam.

“Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) perlu fokus kepada restoran yang bukan pengusaha Islam. Macam kita, majikan dan pekerja semuanya orang Islam, bahan digunakan juga semuanya halal. Jadi tiada keperluan untuk kita dapatkan sijil halal,” katanya kepada FMT.
Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata Jakim akan mengkaji cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal, namun ia mengecualikan premis menghidangkan daging babi atau minuman beralkohol.
Naim berkata, ketika ini proses untuk mendapatkan sijil halal lebih kepada sukarela oleh pengusaha restoran atau pemilik syarikat makanan.
Susulan itu, Naib Pengerusi DAP Teresa Kok berkata pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.
Ahli Parlimen Seputeh berkata cadangan itu hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.
Sementara itu, Che Mamad mengakui jika sijil halal diwajibkan ia mungkin menambah komitmen dan beban kepada peniaga walaupun menyokong langkah tersebut.
“Contohnya seperti keperluan memperbaharui sijil, permit kerja, insurans, dan gred kebersihan. Tetapi secara keseluruhan ia akan menambah baik dari segi kesahihan (status makanan),” katanya.
Pengusaha kedai makan, Rosma Nora Abd Satar, setuju restoran dimiliki bukan Islam yang pelanggannya terdiri golongan Muslim wajar mendapatkan sijil halal kerana penting untuk meningkatkan keyakinan terhadap makanan disediakan.
Katanya, cadangan mewajibkan sijil halal mungkin lebih sesuai disasarkan kepada ‘restoran besar’ dan mempunyai banyak cawangan.
“Bagi kedai makan kecil seperti kami, beban kos itu memang menjadi isu besar. Agak bimbang tentang kos tambahan seperti bayaran untuk proses pensijilan, latihan pekerja, dan perubahan dalam sumber bekalan,” katanya memaklumkan untung kedai makan kecil tidak menentu.