
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, berkata pendidikan percuma bagi bidang perubatan itu ditawarkan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
“Bagi mereka yang mendapat keputusan terbaik dan cemerlang serta mahu menjadi doktor, saya nasihatkan ambil peluang yang telah disediakan kerajaan.”
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), Bulan Malaysia Sihat Sejahtera @ HePiLI (BMSS) dan One Hour Malaysia Clean Up 2024 peringkat Sarawak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sibu.
Jelajah itu mengunjungi 15 lokasi di seluruh Sarawak sejak 15 Ogos lalu dan akan tamat di SMK Petra Jaya, Kuching pada 18 Okt ini.
Lukanisman berkata, BMSS ialah inisiatif diaspirasikan ANMS untuk mengukuhkan jalinan kerjasama antara rakan strategik dalam merancang serta melaksanakan program dan aktiviti pembudayaan hidup sihat secara bersepadu serta menyeluruh.
Menurutnya, BMSS disambut setiap September, namun bagi Sarawak, sambutan bertemakan “Tingkatkan Imuniti Badan, Budayakan Hidup Sihat” diawalkan dengan acara kembara bermula 15 Ogos lalu dan berakhir bulan depan.
Katanya, tema itu sejajar hala tuju Kementerian Kesihatan beralih fokus daripada “sick care” kepada penjagaan kesihatan dan kesejahteraan menggunakan pendekatan pencegahan dalam promosi pembudayaan hidup sihat.
“Objektif BMSS untuk merealisasikan hasrat kerajaan ke arah melahirkan rakyat Malaysia sihat sejahtera menerusi pembudayaan hidup sihat dengan meningkatkan literasi kesihatan dan solidariti promosi antara agensi, NGO, swasta dan komuniti.
“Aktiviti BMSS akan memfokuskan lima domain pembudayaan hidup sihat seperti aktiviti fizikal, minda sihat, pemakanan sihat dan selamat, pencegahan tingkah laku berisiko dan kebersihan diri serta persekitaran.”
Sementara itu, beliau berkata, KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) juga dalam misi memerangi pengambilan gula berlebihan melalui program “War on Sugar” berikutan peningkatan masalah obesiti yang mencatatkan 54.5% tahun lepas berbanding 50.1% pada 2019.