PRK Mahkota model kempen jentera kerajaan perpaduan, kata Zahid

PRK Mahkota model kempen jentera kerajaan perpaduan, kata Zahid

Formula kempen PRK Mahkota akan digunakan oleh gabungan perpaduan untuk menang pada PRU16, kata pengerusi BN.

zahid
Pengerusi BN Zahid Hamidi berucap pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon BN PRK Mahkota di Kluang hari ini. (Gambar Bernama)
KLUANG:
PRK Mahkota penting kerana akan menjadi model dan formula kepada kempen jentera kerajaan perpaduan pada pilihan raya akan datang, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, hal ini demikian kerana pada PRK ini, buat kali pertama sejak penubuhan kerajaan perpaduan, jentera semua parti komponen BN dan Pakatan Harapan (PH) terlibat.

“Semua jentera parti kerajaan perpaduan ada untuk PRK Mahkota ini. Jadi, kemenangan yang akan dicapai ialah kemenangan yang signifikan. Jika berlaku lagi pilihan raya selepas ini, model dan formula ini akan digunakan.

“Saya yakin di Mahkota semua jentera kerajaan perpaduan akan buktikan solidariti, ini jentera kerajaan Madani. Formula ini, cara ini akan kita guna pada PRU16 agar kita terus kekal jadi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon BN untuk PRK Mahkota hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Johor Onn Hafiz Ghazi; Naib Presiden Amanah Dzulkefly Ahmad; Presiden MCA Wee Ka Siong dan Naib Presiden MIC R Nelson.

Zahid yang juga presiden Umno berkata, kemenangan BN di PRK Nenggiri memberikan semangat baharu kepada gabungan itu, sekali gus membuktikan pihaknya boleh menang walaupun di kawasan lawan.

“Kita telah buktikan, walaupun Nenggiri itu bukan di negeri (milik) kita, kerusi itu juga kita kalah sebelum ini, tetapi atas komitmen yang ditunjukkan, kita boleh menang dengan cemerlang,” katanya.

“InsyaAllah, saya juga yakin tidak akan berlaku sabotaj untuk memenangkan calon kita. Calon (PRK Mahkota) ini dipilih daripada senarai 17 nama yang diberi sebelum ini. Kita telah kaji tahap boleh menang calon mengikut kriteria ‘wali’ (winnable, acceptable and likeable).”

Ketua Pemuda Umno Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, diumumkan sebagai calon BN bagi PRK Mahkota.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 28 Sept, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 Sept.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.