
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, berkata ia bagi membolehkan platform berkenaan memantau dan memahami sesebuah kandungan dimuat naik pengguna media sosial, yang ada kemungkinan melibatkan kandungan menyalahi undang-undang.
“Sangat penting untuk platform-platform media sosial mempunyai moderator yang fasih pelbagai bahasa kerana di Malaysia kita mempunyai banyak bahasa.
“Sangat susah kalau ‘content moderator’ mereka bukan dari Malaysia atau tidak faham bahasa tempatan. Sukar untuk mereka kenal pasti kebarangkalian jenayah yang akan berlaku di platform mereka, jadi perlulah ada moderator yang faham pelbagai bahasa tempatan selain bahasa Inggeris,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Karnival Komunikasi 2024 di Hutan Bandar Putra.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengguna media sosial yang memuat kandungan menyalahi undang-undang, seperti kandungan melibatkan wajah dan maklumat mengenai kanak-kanak.
Teo seterusnya menasihatkan orang ramai tidak sesuka hati memuat naik kandungan melibatkan orang lain, terutamanya kanak-kanak.
“Janganlah sesuka hati muat naik kandungan melibatkan orang lain terutamanya kanak-kanak kerana ia satu perbuatan yang tidak betul.
“Sebab itu kita selalu nasihatkan kepada semua pihak termasuk ibu bapa…kita perlu berfikir dahulu apa yang kita muat naik – patut atau tidak, sebab dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) (boleh dibuat) ‘deep fake’, jadi kita kena lebih berhati-hati,” katanya.