
Beliau yang juga jurucakap kerajaan perpaduan berkata, penyedia media sosial dilihat tidak mengambil inisiatif untuk mengkaji dan mengenal pasti trend kegiatan jenayah di platform mereka, sebaliknya hanya menunggu aduan untuk tindakan susulan.
“Sekiranya scam (penipuan) itu dikenal pasti trend dan caranya, seharusnya platform-platform ini mengambil ikhtiar lebih menyeluruh. Sebagai contoh menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk kenal pasti semua akaun terlibat (jenayah penipuan) dan membasmi semua akaun ini.
“Mereka sentiasa katakan ‘we have products and tools’ (kami ada produk dan alat untuk mengekang jenayah), tetapi kita tidak pernah melihat alat yang benar-benar dapat mengekang masalah jenayah scam (penipuan) sebagai contoh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Karnival Hari-Hari Bola Piala Madani Lembah Pantai di Universiti Malaya.
Fahmi berkata, disebabkan perkara itu, kerajaan melaksanakan kerangka kawal selia atau perlesenan perkhidmatan media sosial yang diperkenalkan pada 1 Ogos dan berkuat kuasa mulai tahun depan.
Melalui pelesenan itu, katanya, kerajaan boleh mengeluarkan arahan serta mengambil tindakan sekiranya sesuatu platform media sosial itu tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
“Akan ada tindakan kepada mereka termasuk denda, kompaun atau tindakan lain yang sedang dikenal pasti melalui kod tatakelakuan yang sedang dibina bersama dengan pihak platform media sosial juga,” katanya.
Pada 27 Julai lepas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Ditanya sama ada kerajaan berhasrat mengetatkan peraturan kandungan melibatkan kanak-kanak bawah umur secara dalam talian, Fahmi berkata, perkara itu sedang diteliti bagi memastikan penggunaan Internet dan keselamatan kanak-kanak terjamin.
Beliau turut mengalu-alukan langkah proaktif Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia untuk menambah baik garis panduan dan etika pemandu bas sekolah demi menjaga keselamatan kanak-kanak dan berharap langkah itu diperluas kepada pihak lain yang terlibat dengan kanak-kanak bawah umur.
“Ini penting supaya ibu bapa rasa anak-anak mereka sentiasa selamat. Ini juga kita lihat kepada guru-guru yang juga main peranan. Sebelum ini ada guru yang memaparkan wajah-wajah anak murid tanpa pengetahuan dan kebenaran ibu bapa.
“Jadi sama ada pengendali bas sekolah atau guru-guru, malah sesiapa yang menjadi penjaga kepada kanak-kanak harus faham terutama mengenai Akta Kanak-Kanak dan Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.
Semalam, polis menahan seorang pemandu bas berusia 24 tahun yang memuat naik video memaparkan kanak-kanak dibawanya dalam bas di Simpang Renggam, Kluang dan merampas telefon bimbit dipercayai digunakannya untuk siasatan lanjut.