Pengalihan DNS sekat laman web langgar undang-undang, tak jejas kegiatan Internet

Pengalihan DNS sekat laman web langgar undang-undang, tak jejas kegiatan Internet

Langkah terbaru ini berbentuk pemantapan bagi menghalang akses kepada kandungan menyalahi undang-undang, kata SKMM.

mcmc-skmm-mcmc
Arahan pengalihan DNS bertujuan melindungi pengguna daripada akses kepada laman web yang memiliki kandungan berbahaya, menurut SKMM. (Gambar SKMM)
CYBERJAYA:
Arahan terhadap penyedia perkhidmatan Internet (ISP) untuk mengalihkan trafik perkhidmatan nama domain (DNS) yang menggunakan pelayan pihak ketiga kembali ke pelayan mereka sendiri tidak akan menjejaskan, mengganggu atau menyekat pengguna daripada melayari laman web yang sah.

Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen berkata, laman web yang terkesan dengan tindakan itu ialah laman web yang menyalahi undang-undang Malaysia, menyebabkan sekatan dikenakan.

“Laman web yang tidak mempunyai kandungan yang berbahaya, tidak mempunyai sebarang isu, masih boleh diakses seperti biasa. Pelaksanaan arahan ini bertujuan melindungi pengguna daripada akses kepada laman web yang memiliki kandungan dalam talian berbahaya.

“Sekatan terhadap laman web yang menyalahi undang-undang juga bukan perkara baharu, sebaliknya telah dibuat (sejak) tahun-tahun dahulu. Apa dilakukan kini ialah pemantapan bagi menghalang akses yang membolehkan orang melihat kandungan menyalahi undang-undang,” katanya pada sesi penerangan isu sekatan DNS hari ini.

Sebagai contoh, Mohamed Sulaiman berkata, SKMM telah menyekat 24,277 laman web sejak 2018 atas pelbagai kategori kesalahan seperti judi dalam talian (39%); kandungan pornografi atau lucah (31%); pelanggaran hak cipta (14%); dan pelaburan menyalahi undang-undang atau penipuan (2%).

DNS ialah sistem yang direka bentuk untuk menukar alamat laman web kepada alamat IP berangka bagi mencari laman web di Internet.

Lazimnya, ISP mengendalikan pelayan DNS sendiri yang boleh dikonfigurasikan untuk menyekat akses ke laman web atau domain tertentu berdasarkan kandungannya, suatu kaedah yang biasa digunakan untuk melindungi pengguna daripada kandungan berbahaya.

Mengulas tentang persepsi dan kebimbangan mengenai privasi pengguna terjejas akibat pelaksanaan arahan itu, Mohamed Sulaiman berkata, SKMM tidak mempunyai ‘visibility’ (kebolehlihatan) terhadap kegiatan pelayaran Internet, mahupun tindakan itu akan menjejaskan kelajuan Internet.

“Pengalihan ini melibatkan ISP masing-masing, tiada sebarang talian kepada SKMM. Sebagai contoh, jika seseorang itu pelanggan Telekom Malaysia (TM), maka mereka akan dialihkan kepada TM … dalam hal ini, SKMM tidak terlibat dan kita tidak ada apa-apa maklumat.

“Berkaitan kelajuan, DNS berfungsi menukar alamat laman web kepada alamat IP berangka untuk mencari dan menghubungi laman web yang ingin dilayari. DNS tidak ada kena-mengena dengan isu kelajuan Internet kerana ia dikendalikan ISP,” katanya.

Arahan itu perlu dilaksanakan bermula 30 Sept itu, menyebabkan terdapat segelintir berpandangan tempoh masa yang diberikan adalah suntuk, namun Mohamed Sulaiman memaklumkan, tindakan menyekat laman web sedemikian telah dilakukan sejak lama dahulu, selain telah dimaklumkan kepada ISP tahun lepas.

“Kita telah beri taklimat kepada ISP pada hujung tahun lepas dan mereka juga telah buat ujian rintis,” katanya.

“Kita beri tempoh hingga hujung bulan ini untuk buat pelaksanaan terakhir. Jadi, kita sudah mula lama, bukan baharu,” katanya.

Mohamed Sulaiman berkata, walaupun tempoh pelaksanaan bermula hujung bulan ini, namun penambahbaikan masih boleh dilakukan secara berterusan kerana tujuan utamanya adalah untuk melindungi rakyat, terutamanya kumpulan rentan, daripada kandungan dalam talian yang berbahaya.

Ditanya sebab arahan pengalihan DNS perlu dilakukan, mengambil kira Malaysia akan menguatkuasakan pelesenan perkhidmatan media sosial pada Januari tahun depan, berbaki empat bulan sahaja lagi, Mohamed Sulaiman berkata, kandungan berbahaya dan menyalahi undang-undang berada dalam banyak format atau platform, kebanyakannya di media sosial.

“Namun, kita dapati ada juga kandungan seperti ini pada laman web yang perlu disekat bagi melindungi kumpulan yang mudah terdedah,” katanya.

Mohamed Sulaiman berkata, definisi kandungan berbahaya juga bukan ditakrifkan oleh SKMM semata-mata, sebaliknya bergantung pada pemilik-pemilik bidang kuasa terlibat, seperti akta hak cipta bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Mereka yang akan menilai dan mempunyai pakar sendiri. Apabila mereka dapati ada laman web yang mempunyai kandungan menyalahi undang-undang, mereka yang akan membuat keputusan.

“Kementerian Kesihatan, sebagai contoh, boleh melihat penjualan ubat yang tidak didaftarkan atau berbahaya kepada kesihatan. Masing-masing ada kuasa, akta sendiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.