
Semalam, Loke berkata, beliau tidak tahu dari mana datangnya angka RM120 bilion yang dipetik Wee.
Wee, yang juga bekas menteri pengangkutan berkata, angka tersebut bukan ‘rekaan dan ciptaan’ beliau.
Beliau memetik laporan Straits Times (ST) bertarikh 19 Feb, yang meramalkan kos projek itu akan meningkat kepada sekurang-kurangnya RM100 bilion.
Selain itu, katanya, laporan lain oleh New Straits Times (NST) pada 22 Feb memetik pakar pengangkutan Rosli Khan sebagai berkata, kos projek itu dijangka meningkat kepada RM120 bilion.
“Kalau laporan ST dan NST ini berita palsu, dah melebihi 6 bulan, kenapa laporan-laporan tersebut tidak diperbetul oleh Loke?
“Kenapa bila sampai Wee Ka Siong bersuara, Loke perlu melenting?” soalnya dalam hantaran di Facebook.
Loke sebelum ini berkata, Wee berhak mengeluarkan pendapatnya, tetapi masa depan projek itu akan ditentukan oleh Jemaah Menteri.
Tambahnya, sektor swasta berminat untuk terlibat dan telah mengemukakan kertas cadangan.
“Kita sedang nilai kertas cadangan (tersebut), dan Kementerian Pengangkutan sedang menyediakan kertas Jemaah Menteri,” katanya.
Kerajaan sebelum ini berkata, ia tidak menolak memulihkan projek bernilai berbilion ringgit yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura itu jika dapat mencari pelabur swasta.
Keputusan dijangka dicapai pada akhir suku keempat.
Pada Khamis, Wee berkata, kos yang dianggarkan bagi projek HSR meningkat daripada RM70 bilion kepada RM120 bilion, dan ini menyebabkan tidak praktikal untuk sektor swasta membiayainya tanpa sokongan kerajaan.
Justeru, beliau mencadangkan agar projek HSR itu diselaraskan dengan projek Bandar Malaysia bernilai RM140 bilion yang sedang dijalankan untuk memaksimumkan manfaat dan kebolehlaksanaannya.
Laluan asal sejauh 350km itu dijangka dapat menyingkatkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura kepada 90 minit, berbanding perjalanan menggunakan kereta selama empat jam pada ketika ini.