Bekas pemain bimbang lantikan politik jika Harimau Malaya diswasta

Bekas pemain bimbang lantikan politik jika Harimau Malaya diswasta

Thomas Samuel berkata walaupun idea itu baik namun penswastaan sering menjadikan bukan pakar memegang jawatan utama.

harimau malaya
Pemangku Sultan Johor dan Pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencadangkan skuad Harimau Malaya diswastakan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua bekas pemain kebangsaan menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan menswastakan pasukan bola sepak negara, Harimau Malaya.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Negeri dan Kebangsaan Malaysia, Thomas Samuel, berkata walaupun cadangan itu baik namun bimbang akan dicemari dengan lantikan politik.

“Idea itu baik, tetapi apabila tiba pelaksanaan, sejarah menunjukkan setiap kali berlaku penswastaan, ia akan dipenuhi pelantikan politik,” katanya kepada FMT.

“Individu ini bukan pakar dalam bidang mereka, justeru bagaimana mereka mahu memimpin?”

Samuel berkata, penswastaan pasukan bola sepak negara hanya berkesan jika pengurusan terdiri mereka yang tahu bekerja.

Sementara itu, legenda bola sepak, James Wong mengakui terkejut dengan cadangan tersebut dan percaya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah cukup lengkap mengendalikan pasukan kebangsaan.

“Apabila menyebut pasukan kebangsaan, FAM sepatutnya berkemampuan menguruskannya. Logik di sebalik cadangan ini mestilah jelas. Apa rasional untuk melakukannya? Saya terkejut mendengar perkara ini,” katanya.

Wong, penyerang pasukan negara pada 1970-an digelar King James berkata mereka yang berkuasa perlu menjawab beberapa persoalan sebelum mempertimbangkan cadangan sedemikian.

“Mengapa perlu kepada penswastaan? Adakah FAM tidak cukup bagus? Adakah pengurusan tidak cekap? Adakah tidak cukup dana?”

Idea penswastaan skuad Harimau Malaya dicadangkan Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berkongsi idea itu di Instagram termasuk cadangan sistem, peranan, dan carta organisasi jika badan bebas dibentuk.

Khamis lalu, penganalisis sukan Pekan Ramli, berkata FAM perlu meneliti idea itu dari setiap sudut sebelum melepaskan pasukan kebangsaan menjadi entiti diswastakan.

Katanya, penswastaan kebiasaannya menjadikan entiti berjalan lebih cekap, di mana membolehkan skuad Harimau Malaya mencapai kejayaan lebih besar.

Bagaimanapun, Pekan mengingatkan tiada jalan pintas mencapai kejayaan bagi pasukan negara, sambil menyatakan lebih penting FAM menyusun semula hala tuju pasukan kebangsaan, dari peringkat akar umbi hingga tertinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.