
James Chin dari University of Tasmania berkata idea bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim itu tidak sepatutnya dipandang serius kerana organisasi Melayu di Semenanjung Malaysia tidak cenderung menerima pemimpin politik dari Sarawak untuk jawatan tertinggi.
Katanya, jawatan paling tinggi mungkin diberikan kepada pemimpin Sarawak mungkin setakat timbalan perdana menteri.

“Mereka (pemimpin Sarawak) sedar masyarakat Melayu tidak mungkin menerima mereka. Jadi mereka tidak akan mencuba pun,” katanya kepada FMT.
“Apa yang mereka mahu adalah untuk mempengaruhi kerajaan persekutuan bukannya mentadbir kerajaan persekutuan.”
Jayum Jawan dari Universiti Malaysia Sarawak berkata melihat kepada sejarah, negeri itu menyokong kerajaan persekutuan ketika waktu kritikal seperti darurat dan rusuhan kaum 1969, selain membantu mengekalkan kerajaan Melayu stabil selepas pilihan raya umum 2018.
Bagaimanapun, katanya, dengan hanya 31 kerusi Parlimen ketika ini, Sarawak tidak mempunyai kuasa politik diperlukan untuk memberikan kepimpinan stabil pada peringkat persekutuan.
“Kerajaan persekutuan diketuai Sarawak mungkin tidak stabil berbanding kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim dan PKR yang tidak mempunyai sokongan mencukupi orang Melayu di Semenanjung,” katanya.

“Tambahan pula, pemimpin Sarawak, khususnya Melayu dan Melanau dalam PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu), lebih mementingkan jawatan kepimpinan di Sarawak berbanding peringkat persekutuan.”
Jayum dan Chin turut mempersoalkan keupayaan Sarawak membantu Malaysia mengatasi politik berasaskan kaum dan agama, dengan Jayum menjelaskan penduduk di Semenanjung bercakap mengenai kepelbagaian tetapi tidak diterjemahkan dari segi amalan.
“Mereka (orang semenanjung) menggunakan contoh remeh untuk mengatakan hubungan antara kaum adalah baik, namun sebenarnya contoh terbaik dapat dilihat dalam kalangan masyarakat Dayak, Melayu dan Cina di Sarawak,” katanya.
“Orang Melayu, Dayak dan Cina bukannya langsung tidak mengatakan kekurangan satu sama lain, tetapi ini lebih banyak diperkatakan dan dilihat dalam kalangan budaya, agama dan cara hidup berbeza di semenanjung.”
Chin berkata, isu perkauman dan agama begitu tersemat dalam politik Semenanjung Malaysia seterusnya menyukarkan untuk ia ditangani tanpa mengubah landskap politik dari dasarnya.
“Jika mereka menghapuskannya (isu kaum dan agama), mereka tidak akan mempunyai parti lagi, jadi mereka tidak boleh mara mengatasinya,” katanya.