Pujian Hassan terhadap Ismail ibarat kritik Anwar, kata penganalisis

Pujian Hassan terhadap Ismail ibarat kritik Anwar, kata penganalisis

Azmi Hassan berkata Hassan Karim dari PKR meneruskan kritikan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan memuji pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

Gudang Hassan Karim dari PKR sering mengkritik pentadbiran Anwar Ibrahim termasuk dalam isu peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis menyifatkan pujian Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim terhadap pentadbiran bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob juga boleh diibaratkan kritikan untuk Anwar Ibrahim.

Felo Majlis Profesor Negara (MPN) Azmi Hassan berkata wakil rakyat PKR itu sebelum ini sering menegur perdana menteri dalam pelbagai isu antaranya kelembapan pelaksanaan reformasi dalam pentadbirannya, Februari lalu.

Menurut Azmi, kali ini Hassan memuji Ismail dengan mengaitkan beberapa pencapaian dalam pentadbirannya termasuk agihan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang dengan lancar, berbanding kini yang masih gagal dinoktahkan.

“Namun hakikatnya senario pentadbiran Ismail dan Anwar amat berlainan,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Hassan menyifatkan Ismail sebagai pemimpin baik diperlukan Umno serta Barisan Nasional (BN) kerana rekod pentadbirannya ketika menjadi perdana menteri kesembilan, menyaksikan pelbagai masalah diselesaikan seperti peruntukan wakil rakyat pembangkang.

Menurutnya, suasana politik negara juga tenteram termasuk kejayaan meminda dua Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 1(2) mengenai status wilayah Sabah dan Sarawak serta Perkara 49(A) yang berkait Akta Anti Lompat Parti.

Sementara itu, Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berpandangan Ismail dan Anwar melalui dua situasi berbeza, menyebabkan bekas perdana Menteri itu perlu mendapatkan sokongan pembangkang untuk terus menerajui negara dan memastikan kestabilan.

“Jika tidak dapat sokongan pembangkang, apa akan jadi jika Bersatu dan PAS tak menyokongnya ketika itu…mana-mana pemimpin berada pada kedudukan itu pasti melakukan hal sama untuk kekalkan pentadbiran negara,” katanya.

Seorang lagi penganalisis dari UIAM Syaza Shukri berkata tindakan diambil Ismail ketika menjadi perdana menteri termasuk menandatangani memorandum persefahaman dengan pembangkang dilihat sebagai usaha mengelak polemik tidak wajar.

“Sekurang-kurangnya menunjukkan situasi menang-menang untuk kedua belah pihak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.