
Kerajaan sebelum ini berkata, ia tidak menolak memulihkan projek bernilai berbilion ringgit yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura itu jika dapat mencari pelabur swasta.
Keputusan sama ada untuk meneruskan projek itu atau tidak dijangka dicapai pada akhir suku keempat, tambahnya.
“Saya tak tahu mana mereka dapat angka RM120 bilion,” kata Loke pada sebuah majlis hari ini.
“Beliau (Wee) berhak mengeluarkan pendapat, tetapi masa depan projek HSR akan ditentukan oleh Jemaah Menteri. Sektor swasta berminat dan (beberapa pihak) telah mengemukakan kertas cadangan.
“Kita sedang nilai kertas cadangan (tersebut), dan Kementerian Pengangkutan sedang menyediakan kertas Jemaah Menteri.”
Semalam, Wee mencadangkan agar projek HSR itu diselaraskan dengan projek Bandar Malaysia bernilai RM140 bilion yang sedang dijalankan untuk memaksimumkan manfaat dan kebolehlaksanaannya.
Memetik laporan media, Wee berkata, kos yang dianggarkan bagi projek HSR meningkat daripada RM70 bilion kepada RM120 bilion.
Menurutnya, peningkatan kos itu menyebabkan tidak praktikal untuk sektor swasta membiayainya tanpa sokongan kerajaan.
Loke sebelum ini berkata, kerajaan telah menyenarai pendek tiga daripada tujuh konsortium yang mengemukakan kertas cadangan bagi projek itu selepas mengeluarkan permohonan maklumat (RFI) akhir tahun lepas.
Kertas cadangan berasingan, daripada YTL Corp, Berjaya Land Bhd dan China Railway Construction Corporation, telah disenarai pendek untuk projek itu, lapor The Edge pada Mac, memetik sumber yang tidak dinamakan.
Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian dua hala untuk membiayai projek itu pada 13 Dis 2016, tetapi membatalkannya pada 1 Jan 2021, susulan beberapa kelewatan.
Laluan asal sejauh 350km itu dijangka dapat menyingkatkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura kepada 90 minit, berbanding perjalanan menggunakan kereta selama empat jam pada ketika ini.