JAS kesan bahan kimia dibuang di tebing Sg Plentong

JAS kesan bahan kimia dibuang di tebing Sg Plentong

Exco Johor Ling Tian Soon berkata bahan kimia itu ditemui susulan aduan pencemaran bau yang diterima daripada orang awam.

Pegawai Jabatan Alam Sekitar membuat pemeriksaan pada bahan kimia yang ditemui dibuang di tebing Sungai Plentong di Kawasan Industri Desa Tropika, Johor Jaya. (Gambar Facebook Ling Tian Soon)
JOHOR BAHRU:
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Bomba Johor menemui bahan kimia mencurigakan yang dibuang di tebing anak Sungai Plentong di Kawasan Industri Desa Tropika, Johor Jaya.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon berkata bahan kimia itu ditemui kira-kira pukul 3.15 petang tadi.

Beliau berkata pemeriksaan dilakukan bermula pukul 10.50 pagi susulan aduan pencemaran bau kimia yang diterima dan kejadian itu didapati sama seperti insiden pencemaran bau berlaku baru-baru ini.

“Ketika pemeriksaan dijalankan kira-kira 12 tengah hari, bau kimia sekali lagi di kesan di sekitar kawasan dan pihak berkuasa meneruskan pencarian di sepanjang sungai sebelum menemui bahan kimia yang mencurigakan dibuang di tebing anak sungai di kawasan industri berkenaan sekitar 3.15 petang,’’ katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata terdapat juga tumpahan minyak di permukaan sungai itu dan sampel diambil serta pembersihan sebahagian tumpahan minyak itu dibuat menggunakan pad penyerap.

Ling pada masa sama menegaskan kerajaan negeri dan pihak berkuasa mengecam tindakan mana-mana pihak atau individu yang mengambil jalan pintas untuk melupuskan sisa kimia secara haram.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta untuk menghubungi JAS dengan segera, tambah Ling.

Beliau dalam pada itu berkata pihaknya masih menunggu keputusan ujian bahan kimia yang dibuang di tebing Sungai Pandan.

Selasa lepas, satu pencemaran bau yang kuat dilaporkan berlaku di Taman Daya, Taman Mount Austin, Taman Istimewa dan Kampung Melayu Pandan.

JAS Johor dilaporkan mengesan kehadiran gas ammonia melebihi tahap normal di kawasan Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan dan sejumlah bungkusan yang kandungannya tidak dikenal pasti ditemui dibuang di tebing anak Sungai Pandan berhampiran Taman Daya dua hari lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.