Wajib pasang ABS, penganalisis jangka harga motosikal 150cc ke atas tak naik melampau

Wajib pasang ABS, penganalisis jangka harga motosikal 150cc ke atas tak naik melampau

Penganalisis automotif Hezeri Samsuri berkata harga komponen ABS kini jauh lebih rendah kerana dibuat di banyak kilang.

Banyak jenama motosikal atas 150cc dalam pasaran negara telah dilengkapi sistem brek anti kunci (ABS).
PETALING JAYA:
Tidak akan berlaku kenaikan melampau harga motosikal baharu berkapasiti 150cc dan ke atas, susulan keputusan kerajaan mewajibkan pemasangan sistem brek anti kunci (ABS) mula tahun depan, kata penganalisis automotif.

Hezeri Samsuri berkata, harga komponen ABS sudah jauh lebih rendah memandangkan banyak negara telahpun mewajibkan pemasangan ABS pada motosikal, dan kilang pembuatan turut dibina di banyak negara membangun.

“Di Malaysia, banyak motosikal atas 150cc sudahpun dilengkapi dengan sistem ABS. Ini bermakna tiada peningkatan harga pada motosikal dalam julat kapasiti enjin itu,” katanya kepada FMT.

Hezeri berkata, inisiatif itu sepatutnya dilaksanakan lebih awal lagi, namun atas tentangan pemain industri menyebabkan ‘kelewatan’ cadangan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) direalisasikan khususnya bagi menjamin keselamatan pengguna motosikal.

Sementara itu, ahli akademik automotif Chew Kim Loong, berkata langkah mewajibkan ABS pada motosikal berkapasiti 150cc dan ke atas wajar bagi membantu penunggang mengawal motosikal dengan lebih cekap, terutama berhadapan kejadian kecemasan.

“Kos tentu akan naik tapi dalam jumlah munasabah. Mungkin dalam lingkungan RM1500 kerana pelaksanaan sistem melibatkan banyak kos pembangunan dan penyelidikan.

“Sensor kelajuan roda, modul ABS, penggerak ABS adalah komponen penting untuk ABS. Bagaimanapun, harga tak naik melampau kerana pengilang juga telah ‘dibayar’, sebelum keputusan itu diumumkan kementerian,” kata pengurus latihan Despark College itu.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi mengumumkan semua motosikal baharu berkapasiti 150cc dan ke atas perlu mempunyai ABS mulai 1 Jan, sebagai inisiatif kerajaan mengurangkan kemalangan jalan raya.

Katanya, keputusan itu berdasarkan kepada laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, ABS boleh mengurangkan kematian dalam kalangan penunggang motosikal sebanyak 31% semasa kemalangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.