Pemotong rumput maut terkena renjatan elektrik

Pemotong rumput maut terkena renjatan elektrik

Polis berkata mangsa yang juga warga Bangladesh terkena renjatan elektrik selepas mengalihkan kabel di tepi tiang elektrik.

Ketua Polis Melaka Tengah Christopher Patit berkata mangsa disahkan maut di tempat kejadian dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut. (Bernama pic)
MELAKA:
Seorang pekerja warga Bangladesh maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja-kerja pemotongan rumput di Taman Perkota, Bukit Baru pagi tadi.

Ketua Polis Melaka Tengah Christopher Patit berkata, Habib Ullah, 39, disahkan maut di tempat kejadian selepas dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu.

Beliau berkata menurut saksi, semasa kejadian lelaki itu bersama lima rakannya sedang memesin rumput di kawasan berhampiran bahu jalan, dan terdapat tiang elektrik berhampiran kawasan itu.

“Lelaki itu dipercayai cuba mengalihkan kabel elektrik daripada tanah yang mengganggu kerja-kerja pemotongan rumput dan semasa memegang kabel tersebut, mangsa terkena renjatan elektrik,” katanya dalam kenyataan.

Christopher berkata saksi bersama rakan yang lain kemudiannya cuba membantu menjauhkan mangsa daripada wayar elektrik tersebut dengan menggunakan kayu.

“Pasukan perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.