PBT 3 negeri belum tubuh unit integriti

PBT 3 negeri belum tubuh unit integriti

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata, penubuhan unit itu penting untuk memastikan komitmen semua 156 PBT dalam usaha kerajaan Madani membanteras rasuah.

azam nga kor
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (dua dari kanan) menerima kunjungan hormat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki (dua dari kiri) di pejabatnya semalam. (Gambar Facebook SPRM)
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kedah, Perlis dan Kelantan belum menubuhkan unit integriti, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Beliau berkata, penubuhan unit itu penting untuk memastikan komitmen semua 156 PBT dalam usaha kerajaan Madani membanteras rasuah.

“Selaras aspirasi Malaysia Madani, saya mengarahkan semua PBT yang belum melaksanakan arahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ini untuk segera menubuhkan unit integriti masing-masing.

“Saya memuji Selangor dan Pulau Pinang adalah contoh terbaik dalam pelaksanaan surat pekeliling JPA untuk menubuhkan unit integriti seperti terkandung dalam kajian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memantau dan memastikan unit integriti berfungsi dengan baik untuk menjunjung prinsip integriti selaras prinsip kerajaan Madani yang menegaskan prinsip ketelusan serta tata kelola baik.

Terdahulu, Nga menerima kunjungan hormat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki di pejabatnya semalam dan laporan kajian agensi antirasuah itu.

Dalam pertemuan itu, mereka membincangkan pelan tindakan dan strategi mencegah amalan rasuah selaras aspirasi Malaysia Madani yang menjunjung prinsip integriti.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Norazlan Mohd Razali, Ketua Setiausaha KPKT, M Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Mohd Fadzli Mohd Kenali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.