Mahkamah tolak permohonan jamin kes DSP bunuh pelajar

Mahkamah tolak permohonan jamin kes DSP bunuh pelajar

Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati tiada keadaan istimewa dikemukakan pemohon bagi membolehkan jaminan diberikan.

Pegawai kanan polis Nazri Abdul Razak didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie pada 15 Dis tahun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Ipoh menolak permohonan jaminan pegawai kanan polis yang didakwa membunuh seorang pelajar sekolah dengan melanggar motosikal ditunggang mangsa, Disember lalu.

Keputusan dibuat Hakim Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet selepas mendengar dan meneliti hujah permohonan dikemukakan peguam diketuai Jacky Loi Yap Loong yang mewakili tertuduh, Nazri Abdul Razak, 45, serta hujahan balas pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz.

Pegawai kanan polis berpangkat deputi superintendan bertugas di IPK Kedah itu sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bhupindar dalam keputusan berkata mahkamah mendapati tiada keadaan istimewa dikemukakan pemohon bagi membolehkan jaminan itu diberikan.

Katanya, berdasarkan naratif dikemukakan pihak pendakwaan, terdapat alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa adanya kesalahan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mahkamah berpuas hati pada tahap ini, mahkamah tidak diperlukan untuk meneliti secara detail (terperinci). Mahkamah sudah tetapkan tarikh perbicaraan awal,” katanya menurut Harian Metro.

Sementara itu, Afzainizam yang ditemui selepas prosiding berkata, terdapat dua alasan dipertimbangkan mahkamah untuk menolak permohonan iaitu keadaan isteri tertuduh yang didakwa pihak pembelaan sebagai ‘terancam’, selain faktor keselamatan tertuduh sewaktu ‘bercampur’ dengan banduan lain semasa transit di penjara.

Pasukan pendakwaan terdiri Afzainizam, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Low Qin Hui, manakala pihak pembelaan diwakili Jacky Loi, Lim Chi Chau, Lim Jin Wen, Cindy Wong dan M Kuhan.

Sebelum ini, Bhupindar menetapkan perbicaraan kes itu akan berlangsung 30 hari bermula 4 Nov hingga 17 Jan depan.

Nazri didakwa atas pertuduhan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh, antara 12.05 tengah hari hingga 12.40 tengah hari pada 15 Dis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.