RMK13 siap Mei 2025, kerajaan anjur jelajah ‘Madani Mendengar’

RMK13 siap Mei 2025, kerajaan anjur jelajah ‘Madani Mendengar’

Dokumen penting perancangan ekonomi negara dijadual dibentang pada sidang Parlimen Julai tahun depan.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dalam Persidangan Permulaan RMK13. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dijangka siap sepenuhnya Mei tahun depan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Katanya, dokumen penting bagi perancangan ekonomi negara dijadualkan dibentang dalam persidangan Parlimen Julai tahun depan selepas diluluskan kerajaan.

“Jadi, dari segi semakan dan sebagainya draf pertama itu perlu berlaku dalam enam bulan kerana kena melalui beberapa proses saringan dan mendapat kelulusan di peringkat kerajaan.

“Tempoh diluluskan oleh kerajaan untuk dibawa ke Parlimen dalam dua bulan,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Permulaan RMK13.

RMK13 akan melibatkan tempoh perancangan ekonomi bermula 2026 hingga 2030.

Rafizi berkata, kerajaan akan mengimbangi keperluan semua lapisan masyarakat termasuk Bumiputera dalam RMK13.

“Sama ada bentuk sektor atau kemahiran, perkara khusus akan kita tumpu RMK13 sudah tentu perlu mengimbangi keperluan semua orang dalam masyarakat.

“Dari segi keperluan Bumiputera dan dokumen lain sudah tentu bila bangunkan RMK13 perlu dijajarkan mengambil kira beberapa keputusan penting dibuat kerajaan sebelum ini,” katanya.

Susulan itu Rafizi berkata kementeriannya juga akan menganjurkan jelajah dinamakan ‘Madani Mendengar’ bagi sesi libat urus dengan kerajaan negeri bermula hujung bulan ini.

Katanya, ia adalah inisiatif untuk mengumpulkan input daripada kumpulan pemikir awam, wakil sektor swasta dan rakyat di seluruh negara.

“Sesi jelajah ini akan diadakan di semua 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan untuk memastikan setiap orang mempunyai peluang menyuarakan kebimbangan, pandangan dan cadangan mereka untuk membantu membentuk masa depan negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.